Tahun penuh makna

- Advertisement -

SEBUT sahaja nama penyanyi, Haqiem Rusli, tentunya vokal mantap serta kemampuannya melantunkan lagu berentak balada cukup dikenali sekali gus memperkenalkan namanya sebagai penyanyi.

Kerap kali tampil dengan karya solo, Haqiem kini mencuba nasib dengan hadir secara kolaborasi bersama dua lagi rakan seperjuangan, Hael Husaini dan Naim Daniel menerusi karya berjudul Lara.

Mempertaruhkan vokal dan melodi indah, Haqiem mengakui terus jatuh cinta saat Hael memperdengarkan lagu itu buat pertama kali.

“Saya jenis yang akan dengar demo dahulu dan apabila saya diperdengarkan lagu Lara ini, saya terus jatuh cinta. Seterusnya, saya maklumkan kepada Hael dan Naim yang saya bersetuju untuk turut serta,” katanya.

Mengambil masa selama dua hari, Haqiem mencari jiwa yang sesuai untuk dipadukan dengan lagu berkonsepkan trio itu.

“Saya ambil masa selama dua hari dan mencari jiwa yang sesuai untuk dimasukkan ke dalam lagu ini. Untuk berkolaborasi dengan kedua-dua mereka adalah peluang berharga buat saya sebagai penyanyi kerana Hael dan Naim punya kekuatan tersendiri,” katanya.

Lara berkisar mengenai kesedihan yang digambarkan oleh tiga karakter penyanyinya. Setiap daripada mereka juga diberi peluang untuk menulis lirik sendiri bagi menuangkan rasa yang ada dalam hati mereka.

“Setiap daripada kami ada kisah masing-masing berkaitan dengan kesedihan dan kepedihan. Jadi, kami luahkan dalam bentuk lirik untuk lagu ini mengikut bahagian masing-masing,” katanya.

Berkongsi mengenai tahun 2020 yang hampir ke penghujungnya, Haqiem berkata, tahun ini penuh makna buat dirinya kerana dia bangkit semula selepas kecundang.

“Kalau ada yang masih ingat, ada isu dan kontroversi membabitkan saya sebelum ini. Apa yang boleh saya simpulkan mengenai tahun 2020, ia adalah tahun kebangkitan semula saya dalam karier seni.

“Selepas saya berdepan dengan pelbagai kecaman (isu depresi), tahun ini saya diberi rezeki dan peluang untuk memegang beberapa anugerah antaranya Anugerah Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular BH 34 (ABPBH34).

“Secara tak langsung, ini umpama penghargaan buat diri saya dan saya mula sedar bahawa peminat mula kembali menerima kehadiran saya,” katanya.

Apa yang pasti, Haqiem ingin terus kekal berada di paras membanggakan dalam karier seninya dan mengharapkan doa daripada peminat-peminatnya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat