Aina bawa ibu bercuti, Aisha hantar duit ke Indonesia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menelusuri perjalanan kerjaya Aina Abdul dan Aisha Retno bagaikan ada persamaan. Bukan sekadar memiliki vokal yang bagus, malah mula bertapak menerusi program realiti.

Aina dinobatkan juara Idol, manakala Aisha pula juara Rookie menerusi program realiti, Vokal Mania yang berakhir, malam kelmarin.

Seperti diketahui, Aina pernah menjadi ‘anak didik’ Ratu Rock, Ella dalam program Mentor Legend pada 2014. Bagaimanapun, penyanyi yang popular menerusi lagu Sumpah itu mengambil masa agak lama untuk membuktikan bakat besarnya dalam dunia nyanyian dan penciptaan lagu.

Aisha pula baru sahaja mengecapi nikmat dunia populariti apabila dijulang sebagai juara dalam program realiti terbitan TV3 berskala besar itu. Aisha meminati dunia nyanyian sejak kecil dan pernah menyertai beberapa pertandingan nyanyian, selain disunting menjadi penyanyi di bawah naungan Sony Music.

Penyanyi tinggi lampai itu menjadikan ibunya yang juga penyanyi era 1980-an di Indonesia, Jean Retno Aryani sebagai inspirasi. Jean adalah bekas penyanyi seangkatan penyanyi popular Indonesia, Hetty Koes Endang.

Juara Rookie, Aisha Retno menjadikan ibunya yang juga penyanyi era 1980-an di Indonedia, Jean Retno Aryani sebagai idola. - Foto TV3
Juara Rookie, Aisha Retno menjadikan ibunya yang juga penyanyi era 1980-an di Indonedia, Jean Retno Aryani sebagai idola. – Foto TV3

 

Aina membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000, manakala Aisha pula menerima RM30,000, selain trofi.

Bagi Aina, impiannya menyertai program realiti, Vokal Mania di samping tiga teman seperjuangan, Indah Ruhaila, Tomok dan Lan Solo sekadar menguji diri untuk menampilkan persembahan yang memberikan impak.

“Ruang mengadakan persembahan di hadapan peminat agak terbatas ketika pandemik COVID-19 ini. Jadi, apabila menyertai pertandingan, saya mahu ‘all out’ memberikan persembahan yang diingati.

“Namun, siapa sangka ia memberikan kejayaan yang manis apabila diangkat sebagai juara Idol. Ini bukan kejayaan saya seorang, tetapi satu pasukan kerja yang bertungkus lumus memastikan saya nampak sempurna atas pentas.

“Tidak lupa juga doa yang sering dititipkan mak, Zaini Abdullah, 65, di Seremban. Buat kelab peminat, Ainations yang berdoa dari jauh dan setia mengundi saya dalam pertandingan ini. Saya berharap dapat bertemu peminat selepas pandemik COVID-19 berakhir,” katanya yang turut dinobatkan sebagai juara program The Masked Singer Malaysia, baru-baru ini.

Aina berkata, wang kemenangan RM50,000 akan digunakan sebaik mungkin.

“Saya nak belanja mak makan sedap-sedap dan bawa berjalan sebab sudah lama tak berjumpa. Mak tinggal seorang diri di kampung selepas pemergian arwah abah pada 2008.

“Saya juga mahu menggunakan wang kemenangan ini untuk persiapan malam kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-35 apabila mendendangkan lagu Semalam.

“Jika menerusi lagu Sumpah, saya menggunakan ‘darah’ untuk persembahan dramatik, tahun lalu. Ada kemungkinan saya masih berdiri seorang diri, tetapi dibantu sisi teknikal lain yang boleh melengkapkan persembahan atas pentas,” katanya kepada BH Onlie.

Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani itu berkata, dia agak ralat apabila persembahan pertamanya menyampaikan lagu Shadow dan I Surrender pada konsert akhir itu tidak mendapat komen juri.

“Saya akui seperti hilang arah dan terkial-kial selepas membuat persembahan dua lagu berkenaan. Ini kerana tiada komen juri. Saya suka mendengar komen juri kerana ia membuka ruang untuk memperbaiki kelemahan persembahan.

“Apapun, saya nak ucapkan terima kasih kepada juri tetap, Misha Omar dan Yusri Abdul Halim atas komen serta teguran selama berada dalam program realiti ini. Saya teruja mendapat tahu Adibah Noor menjadi juri undangan konsert akhir. Adibah, antara penyanyi yang sering memberikan nasihat berguna sejak saya menyertai liga seni,” katanya.

Mengenai kemenangan Aisha, Aina percaya dan yakin Aisha diangkat sebagai juara.

“Saya pernah melihat Aisha membuat persembahan dalam Instagram termasuk mendendangkan lagu saya. Bakat seperti Aisha inilah perlu diangkat. Rakan artis kena sokong penyanyi berbakat sepertinya.

“Aisha umpama satu dalam sejuta kerana mempunyai ‘attitude’ menyanyi dan gaya vokal yang hebat. Aisha seperti saya, masih jauh perjalanan mengejar impian yang diingini. Saya lihat Aisha abaikan perkara negatif dan menjadi diri sendiri,” katanya.

 

Haqiem Rusly muncul sebagai penyanyi undangan menyampaikan lagu Mimpi. - Foto TV3
Haqiem Rusly muncul sebagai penyanyi undangan menyampaikan lagu Mimpi. – Foto TV3

 

Sementara itu, Aisha berkata, dia lega apabila perjuangan dan usaha jitu beroleh kejayaan.

“Saya pastinya merindui momen ketika menyertai program realiti, Vokal Mania ini. Saya melihat finalis yang berentap pada peringkat akhir layak bergelar jadi juara. Bagaimanapun, Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya. Terima kasih pada juri dan penyokong yang mengundi saya.

“Tiada istilah puas dalam membuat persembahan. Sedikit kepuasan mungkin ada, tetapi saya kena lihat semula rakaman dalam YouTube. Kekurangan pasti ada daripada saya sebagai manusia.

“Program realiti juga menjadi ruang bersaing dalam liga besar dan ditonton ramai. Sebelum ini, saya hanya menyertai pertandingan berskala kecil sahaja,” katanya.

Mengenai wang kemenangan, Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulizam mahu menyimpan untuk kegunaan masa depan.

“Saya masih muda, kena beringat dan menyimpan. Saya serahkan duit pada keluarga untuk menguruskan. Jika ada rezeki, saya mahu mengerjakan umrah di Makkah. Saya juga mahu berkongsi rezeki dengan keluarga yang kini berada di Indonesia.

“Angka jumlah RM30,000 hanya simbolik. Saya takkan dapat rezeki ini tanpa doa dan kasih sayang keluarga,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Aisha berkata, dia teruja untuk muncul dengan single baharu yang belum ditetapkan judul hasil ciptaan Farouk Roman dan Amylea Azizan.

“Sebelum ini, saya muncul dengan single pertama, Mengikat Jiwa, ia diikuti single duet bersama Yuka Kharisma berjudul Terima Kasih.

“Jika tiada aral, single solo kedua akan dikeluarkan pada 15 Januari, tahun depan. Saya tak sabar menanti karya ciptaan Farouk dan Amylea ini,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat