KUALA LUMPUR – Kajian komprehensif ILHAM Centre mengenai pola pengundian PRN Sabah ke-17 menunjukkan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berada pada posisi paling kukuh untuk muncul sebagai blok terbesar dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu.
Dengan unjuran sekurang-kurangnya 26 kerusi daripada 55 kerusi yang ditandingi, GRS dilihat tidak mencapai majoriti mudah, namun cukup untuk membuka perundingan dengan parti-parti lokal, PH, BN dan juga calon bebas selepas keputusan diumumkan.
Dapatan ILHAM Centre menunjukkan bahawa kelebihan GRS banyak bergantung kepada faktor-faktor yang tidak dimiliki parti lain, termasuk kekuatan penyandang, jentera kempen yang lebih tersusun, serta imej Hajiji Haji Noor sebagai pemimpin tenang dan stabil. Sebanyak 63 peratus responden menyatakan mereka berpuas hati dengan prestasi kerajaan negeri, manakala 62 peratus berpuas hati dengan kepimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Populariti beliau bukan sahaja mengatasi tokoh-tokoh lain tetapi turut menjadi punca utama GRS mengekalkan momentum di kawasan pantai barat dan kawasan penyandang dominan seperti Sulaman, Karanaan, Kuala Penyu dan Membakut.
Kajian tersebut juga mendedahkan hakikat penting tentang sifat pengundi Sabah pada PRN kali ini. Berbanding parti atau isu nasional, pola pengundian Sabah kini sangat berorentasikan calon.
Pengundi lebih menilai rekod kerja calon, kesungguhan turun padang dan keprihatinan terhadap komuniti setempat berbanding ideologi parti.
Penyandang yang memiliki rekod kerja konsisten muncul sebagai calon paling diyakini. Dalam kalangan anak muda pula, kecenderungan mereka lebih bersifat personaliti – wajah baharu, penampilan menarik dan keaktifan calon di media sosial menjadi faktor penentu, membuktikan bahawa naratif panjang manifesto tidak semestinya mempengaruhi undi generasi ini.
Tambahan pula, sehingga hari terakhir kempen, 16 peratus anak muda masih belum membuat keputusan, manakala pola undi mereka berpecah secara ‘scattered’ tanpa menunjukkan kecenderungan kolektif kepada mana-mana blok politik.
Di kawasan KDM, tingkah laku pengundi kekal bersifat lokalistik. Pengaruh etnik, tradisi parti lokal dan rangkaian keluarga besar masih memainkan peranan utama. Kawasan seperti Tambunan kekal sinonim dengan STAR, Kadamaian cenderung kepada UPKO, manakala Kundasang mempunyai sentimen kuat terhadap PBS. Pola undi mereka lebih dipengaruhi sejarah kepimpinan dan hubungan langsung dengan komuniti setempat, menjadikan mana-mana parti luar yang bertanding di kawasan ini sukar memecahkan dominasi sedia ada.
Satu lagi penemuan penting ialah bagaimana naratif hak Sabah mengatasi segala isu nasional. Tema-tema seperti “Rumah Kita, Kita Jaga”, “Bikin Balik Sabah”, “Sabah First”, “Justice for Sabah” dan “Kasi Bagus Sabah” mendapat sokongan sekitar 77 peratus pengundi. Isu 40 peratus hasil Sabah, MA63, autonomi negeri dan maruah Sabah menjadi pemacu emosi utama sepanjang kempen. Walaupun isu ekonomi seperti kos sara hidup, SST, kenaikan harga barang serta masalah air dan elektrik masih relevan, semuanya berada di bawah bayangan naratif besar yang mengangkat kepentingan Sabah dalam Persekutuan.
Dalam kumpulan pengundi bandar, terutama pengundi Cina, ILHAM Centre mengesan angin perubahan yang sangat ketara. Kawasan seperti Likas, Luyang, Kapayan, Api-Api dan Inanam menyaksikan mood penolakan terhadap parti dari Semenanjung. Ketidakpuasan terhadap SST, kenaikan harga barang, isu integriti serta kempen billboard mewah DAP dan PH menimbulkan reaksi negatif yang mungkin menyebabkan kerusi-kerusi mereka tergugat. Jika gelombang ini besar, kerusi PKR seperti Inanam dan Api-Api berisiko tumbang, manakala kerusi tradisi DAP seperti Likas dan Luyang turut berada di zon bahaya. Swing ini membuka ruang besar kepada WARISAN yang menjadi pilihan pengundi bandar yang ingin memprotes PH tetapi tidak mahu kembali kepada parti nasional.
Prestasi parti-parti lain turut dibahaskan secara mendalam dalam kajian ini. WARISAN kekal kukuh di pantai timur dan mendapat sedikit limpahan sokongan dari bandar, namun keputusan bertanding solo di 73 kerusi memberi tekanan besar kepada jentera mereka.
BN pula dilihat hanya aktif di kerusi tertentu dan mesej kempen tidak melekat dalam kalangan pengundi walaupun kempen mereka mewah dengan penampilan artis.
PH pula menghadapi tekanan paling berat kerana terpaksa menahan asakan di kawasan urban dan berdepan isu calon payung terjun yang mencetuskan kemarahan pengundi setempat.
Perikatan Nasional pula berada pada tahap paling lemah, tidak tersusun dan hanya bergantung kepada dua kerusi berpotensi iaitu Karambunai dan Sugut. Sementara itu, parti KDM yang cuba memecah dominasi parti anchor pedalaman dilihat masih belum mencapai kematangan untuk mencipta gelombang besar.
Fenomena calon bebas atau “Black Wave” juga menjadi elemen menarik PRN kali ini. Dengan 74 calon bebas, sebahagiannya telah bekerja lama di kawasan masing-masing dan memiliki pengaruh tersendiri. Calon bebas bukan sahaja berpotensi memenangi beberapa kerusi, tetapi juga berupaya memecahkan undi parti-parti besar dalam persaingan sengit, sekali gus mewujudkan lebih banyak kerusi tidak menentu sehingga saat akhir.
Pertembungan personaliti antara Hajiji Haji Noor dan Shafie Apdal turut menjadi topik perbualan pengundi. Walaupun Shafie masih memiliki karisma dan dianggap tokoh alternatif paling lantang, populariti Hajiji yang stabil sepanjang penggal lalu memberikan kelebihan signifikan kepada GRS.
Pengundi melihat Hajiji lebih sesuai memimpin kerajaan pasca-PRN kerana imej beliau yang tidak konfrontasional serta keupayaannya menyatukan blok politik yang berbeza.
ILHAM Centre mengunjurkan 13 kerusi sebagai kerusi paling sengit, terbuka kepada semua blok politik. Dalam unjuran akhir, GRS diramal memperoleh 26 kerusi, WARISAN antara 6 hingga 14 kerusi, BN sekitar 9 kerusi, PH hanya 4 kerusi, manakala PN berpotensi memenangi antara sifar hingga dua kerusi.
PRN Sabah 2025, menurut kajian ini, dijangka berakhir dengan keperluan pembentukan kerajaan melalui rundingan pasca-keputusan. Faktor peratusan keluar mengundi yang dijangka rendah juga menguntungkan penyandang, sekali gus menambah potensi GRS untuk mengukuhkan bilangan kerusi pada saat terakhir.
Kesimpulannya, landskap PRN Sabah tahun ini memperlihatkan pola pengundian yang amat kompleks — calon lebih berpengaruh daripada parti, naratif hak Sabah mengatasi isu nasional, pengundi Cina membuat perubahan ketara, dan segmen anak muda pula terlalu berselerak untuk mempengaruhi keputusan secara kolektif.
GRS muncul sebagai blok paling stabil, tetapi kelangsungan pembentukan kerajaan baharu tetap bergantung pada rundingan dan kesepakatan selepas keputusan diumumkan. Dengan 13 kerusi sengit yang masih sukar dijangka, PRN Sabah 2025 dijangka mencatat sejarah sebagai salah satu pilihan raya negeri paling tidak menentu dalam dekad ini.- SUARATV



