Ahli Parlimen Tenom sindir Menteri Pakatan Harapan datang Kemabong bila pilihan raya baru hendak lulus projek

TENOM – Ahli Parlimen Tenom, Ridzuan Rubin, hari ini menyindir keras beberapa menteri Kerajaan Perpaduan dan calon pembangkang yang hadir berkempen di kawasan Kemabong dengan membawa janji projek baharu, termasuk pembinaan mini Kompleks Sukan Kemabong.

Dalam satu kenyataan, Ridzuan mempersoalkan mengapa janji yang diumumkan itu tidak pernah diluluskan ketika permohonan rasmi telah dikemukakan melalui pejabat Ahli Parlimen sebelum ini.

Katanya, permohonan Kompleks Sukan Kemabong telah dibawa sehingga ke sesi perbahasan Dewan Rakyat, namun jawapan kementerian ketika itu amat mengecewakan.

Ridzuan turut mempertikai kunjungan beberapa menteri yang tiba-tiba mengumumkan projek baharu selepas Ketua Menteri Sabah mengumumkan rancangan menaik taraf Padang Pekan Kemabong.

Beliau mempersoalkan mengapa kelulusan itu tidak dibuat lebih awal sedangkan permohonan sudah lama dihantar, dan menegaskan bahawa kelulusan sebelum Belanjawan 2026 pun boleh dipertimbangkan sekiranya benar kerajaan serius membantu rakyat.

Ridzuan juga mengkritik calon-calon tertentu, dipercayai merujuk kepada calon Pakatan Harapan, yang berkempen dengan slogan mempertahankan tanah adat dan hak rakyat Sabah. Menurutnya, ketika isu tanah Sabah Forest Industries (SFI) dibawa ke mahkamah akibat cubaan penjualan kepada syarikat China, suara mereka tidak kedengaran walaupun ketika itu mereka berada dalam kerajaan.

Beliau menambah, hanya selepas kerajaan meluluskan dan mewartakan tanah adat SFI Kelas 2 untuk diberikan kepada rakyat, barulah calon-calon berkenaan tampil mendakwa mahu menjadi pejuang rakyat.

Dalam kenyataannya, Ridzuan turut menyentuh isu bantuan rumah, menyatakan bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini menyediakan 40 unit Rumah SMJ bagi setiap DUN, berbeza dengan pemberian program PPRT sebelum ini yang didakwanya hanya sekitar lima buah rumah setahun.

Beliau turut membidas tindakan beberapa calon yang memasukkan agenda menaik taraf Kemabong kepada daerah penuh dalam manifesto parti masing-masing sedangkan kerja fasa pertama telah pun dimulakan oleh kerajaan melalui Institut Pembangunan Sabah (IDS).

Kenyataan itu dilihat sebagai respons langsung terhadap kehadiran beberapa menteri Kerajaan Perpaduan berkempen di Tenom minggu ini, serta sindiran kepada calon PH yang bapanya sedang mempertahankan kerusi DUN Kemabong di bawah tiket GRS.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat