KOTA KINABALU – Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan perjumpaan beliau dengan ahli perniagaan Albert Tei yang membongkarkan skandal rasuah membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, lebih mengejutkan Albert Tei turut mengaitkan nama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwanya turut terlibat dan memberi arahan.
“Seorang peniaga yang terlibat dengan permintaan untuk kawasan lombong di Sabah telah datang jumpa saya. Bukan saya dijemput, tapi dia datang dan dia datang untuk memberi kepada saya bukti-bukti bahawa rasuah berlaku di Sabah waktu ini dan ia melibatkan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.
“Bahkan dia (Albert Tei) sebut nama Anwar Ibrahim pun bahawa terlibat yang memberi arahan, supaya digunakan duit untuk mendapat sokongan.
” Jadi kita dengar kononnya kerajaan Malaysia ni anti-rasuah, tetapi mengikut Albert Tei yang memberi kepada saya dokumen-dokumen…. banyak dokumen yang jelas merekodkan cakapan-cakapan orang tertentu yang menentukan bahawa di Sabah banyak duit digunakan oleh orang yang mewakili kerajaan untuk mempengaruhi sokongan kepada kerajaan.
“Inilah kerajaan yang bercakap berkenaan dengan anti-rasuah dan seperti biasa cakap lain buat lain, kata anti-rasuah tetapi merekalah yang terlibat dengan rasuah mengikut Albert Tei,” dakwa Dr Mahathir dalam video berdurasi 1.33 minit di YouTube beliau.



