Keadaan ekonomi rakyat Malaysia lebih baik tahun depan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Keadaan ekonomi rakyat Malaysia pada 2024 dijangka akan menjadi lebih baik memandangkan momentum pertumbuhan ekonomi yang dimulakan dalam tahun 2023 diteruskan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan keadaan ekonomi rakyat pada tahun depan akan dibantu dengan dasar-dasar baru untuk menaikkan gaji dan menyasarkan semula subsidi yang akan dimulakan dalam tahun 2024.

“Insya- Allah negara akan meneruskan momentum pertumbuhan ekonomi yang dimulakan dalam tahun 2023 ini.

“Apabila dilengkapi pula dengan dasar-dasar baru untuk menaikkan gaji dan menyasarkan semula subsidi yang akan dimulakan dalam tahun 2024, Insya Allah keadaan ekonomi rakyat akan menjadi lebih baik,” katanya.

Rafizi menjelaskan, ekonomi dunia melalui masa yang sukar sepanjang 2023 malah tempias wabak COVID-19 yang menyaksikan negara-negara menambah bekalan wang dalam ekonomi mereka (selalunya dengan berhutang) menyebabkan inflasi dunia melonjak naik dari 2021 hingga sekarang.

Bahkan katanya, keadaan menjadi lebih buruk akibat perang di Ukraine dan kini di Gaza.

“Dalam tempoh 12 bulan lalu, Pihak Berkuasa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Federal Reserve) telah menaikkan kadar faedah secara agresif untuk mengekang inflasi di negara itu yang membawa kesan kepada nilai matawang negara lain berbanding dollar Amerika Syarikat.

“Tempias itu kena juga kepada Malaysia, walaupun kita berjaya membendung ketidaktentuan melampau akibat perkembangan ekonomi global ini.

“Inflasi terkawal pada tahap terendah sejak 2021 (1.8 peratus bagi Oktober 2023 berbanding 4.0 peratus November 2022) telah membolehkan kadar faedah di Malaysia dikekalkan pada kadar yang rendah untuk tidak membebankan rakyat dan perniagaan, berbanding negara-negara lain di rantau ini,” ujarnya.

Beliau menyatakan, pertumbuhan ekonomi pula mengekalkan momentum yang terbaik berbanding 5-6 tahun lepas, apabila pertumbuhan ekonomi dari suku ke suku meningkat dari S1 2023 (0.9 peratus), S2 2023 (1.5 peratus) dan S3 2023 (2.6 peratus).

Menurut beliau, pertumbuhan berterusan dari suku ke suku ini tidak pernah berlaku sejak 5-6 tahun yang lalu, selalunya jika satu suku meningkat, suku seterusnya mula menurun (ada suku yang menguncup).

“Dengan inflasi yang terkawal dan momentum pertumbuhan yang baik, tumpuan kerajaan untuk campur tangan dalam kenaikan gaji rakyat bermula 2024 dijangka akan mula merungkai tekanan kos sara hidup rakyat.

“Lebih baik lagi, secara umumnya pakar ekonomi meramalkan keadaan ekonomi dunia akan lebih rancak dalam tahun 2024.

“Dasar kadar faedah yang agresif oleh Pihak Berkuasa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Federal Reserve) juga dijangka akan mereda dalam tahun 2024, yang akan mengurangkan tekanan kepada nilai matawang Ringgit.

“Suasana ekonomi global (terutamanya China, rakan dagang terbesar negara kini) yang semakin pulih dijangka akan meningkatkan permintaan kepada eksport negara seperti barangan semikonduktor dan elektronik,” jelasnya.

Kata Rafizi, kupasan prospek ekonomi 2024 yang dibincangkan di Persidangan Prospek Ekonomi Negara (NEOC) anjuran Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), salah satu kumpulan pemikir pakar ekonomi yang tertua di negara ini, banyak berkisar kepada latar belakang ekonomi negara dan dunia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat