KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gantang dari Bersatu,Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, pagi ini.
Beliau berkata demikian ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).
“Dengan ini Bukit Gantang mengisiytiharkan menyokong Perdana Menteri.
“Saya sendiri bersedia untuk memberi dan membantu kerajaan mewujudkan masyarakat Madani menangani kenaikan harga dan kos sara hidup dengan mengambil ibrah Nabi Yusuf,” katanya.
Sebelum ini, empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) pada 12 Oktober lalu, Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) pada 30 Oktober, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) pada 7 November dan Zahari Kechik (Jeli) pada 8 November menyatakan pendirian menyokong Anwar.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, dilaporkan berkata, tindakan empat Ahli Parlimen itu tidak berkaitan dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat untuk bertukar parti yang boleh menyebabkan mereka hilang kerusi di Parlimen.