Isu Covid dan Darurat Perlu Keputusan Bijaksana, Rujuk Pakar – Abdul Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Dalam menangani isu pandemik COVID-19 dan soal pelaksanaan perintah darurat, ia perlu dirujuk kepada setiap pihak yang mempunyai kepakaran mengenai isu berkenaan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata apabila ia melibatkan keputusan yang besar seperti pengisytiharan darurat, ia perlu dirujuk kepada bidang kepakaran yang sebenar dalam semua aspek dan lapangannya.

“Ini sangat penting supaya keputusan diambil secara bijaksana dan benar-benar berpijak di bumi yang nyata, bukan melalui sumber serpihan atau pandangan serpihan dalam salah satu aspek perlembagaan, politik atau ekonomi sahaja secara berasingan.

“Masalah yang berlaku mesti dirujuk kepada kumpulan pakar yang sebenar, seperti masalah nelayan jangan ditanyakan kepada ahli pertanian.

“Maka masalah penularan COVID-19 perlu ditanya kepada ahli perubatan, keselamatan dan pihak lain yang berkaitan, bukan ahli politik dan pakar undang-undang perlembagaan semata-mata,” katanya pada satu kenyataan di laman Facebook rasminya pada Rabu.

Tegasnya lagi, kumpulan pakar yang sebenar mesti dirujuk dalam mencari penyelesaian kepada sesuatu masalah yang berlaku, dan bukannya berpandukan pendapat dan pandangan sesetengah pihak sahaja.

“Secara tegas, sebolehnya dalam menangani COVID-19, sama ada darurat perlu dilaksanakan atau tidak, jangan ditanya kepada pakar undang-undang, ahli politik, ahli ekonomi, tentera dan polis sahaja.

“Sebolehnya dirujuk kepada semua pihak berkenaan termasuklah pakar kesihatan, pihak polis dan tentera, khususnya semua pihak yang berada di barisan hadapan dalam menghadapi COVID-19. Sudah ada dalam kalangan mereka yang telah menjadi mangsa ketika menjalankan tugas dengan jumlah bilangan kes yang tidak menurun.

“Oleh itu, perkara ini wajib diberikan perhatian yang bersungguh-sungguh, sejauh mana perkembangan sebenar tahap penularan yang membahayakan kesihatan rakyat terkini dari segi pencegahan, rawatan dan tahap penyebaran wabak ini,” katanya. – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat