KLUANG – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa Syed Hussien Syed Abdullah untuk terus berkhidmat sesudah Subuh esok selepas mendapat mandat besar daripada pengundi N.29 Mahkota.
Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota itu turut menzahirkan penghargaan kepada pengundi dan jentera Barisan Nasional (BN) dan Perpaduan yang sudah berjuang dengan semangat luar biasa sekali gus meraih majoriti unggul 20,609.
“Syukur Alhamdulillah, dengan semangat luar biasa ini, calon kita (BN) Syed Hussien menang dengan majoriti besar 20,609. Ini adalah berkat usaha semua yang telah berusaha siang dan malam dalam tempoh sebulan, dua ini untuk menangkan calon kita.
“Sebagai Pengarah PRK DUN Mahkota, saya ucapkan terima kasih kepada pengundi kerana telah menghadiahkan mandat yang begitu baik kepada Syed Hussien.
“Hari ini rakyat undi Syed Hussien, esok selepas Subuh dia kena terus buat kerja untuk bela rakyat di sini (Mahkota),” gesa Onn Hafiz ketika berucap Bilik Gerakan Utama BN di Taman Sri Kluang pada Sabtu.
Sementara itu, Onn Hafiz turut menyampaikan salam daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menitipkan ucapan penghargaan kepada seluruh jentera Barisan Nasional (BN)- Pakatan Harapan (PH) dan rakyat secara keseluruhan.
Dalam pada itu, Onn Hafiz secara peribadi menilai gerak kerja PRK Mahkota ini sebagai kempen yang luar biasa.
“Secara peribadi, ini kempen yang luar biasa dalam sejarah. Saya tak pernah tengok semua jentera sayap Wanita, Pemuda dan Puteri bersama komponen BN; MCA, MIC, PH; PKR, DAP dan Amanah kerja keras begini. Bahkan, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkempen macam dia calon.
“Saya bersyukur peringkat BN kita kempen secara sihat. Permuafakatan itu cukup penting, dalam kita ghairah berkempen jangan lupa ada had dan batasan untuk menangkan Syed Hussien.
“Kita ada banyak lagi kerja untuk penuh jayakan visi dan aspirasi membangunkan Johor yang kita cintai, terutamanya Kluang dan Mahkota.
“Lepas ini jangan toleh belakang, terus kerja untuk rakyat bangunkan negeri yang kita cintai ini,” ucap Menteri Besar Johor itu lagi.