Komplot curi lukisan

- Advertisement -

Filem aksi ‘heist’ terbaik Indonesia tahun ini, Mencuri Raden Saleh menemui penonton Malaysia di seluruh pawagam tanah air bermula 22 September lalu.

Filem terbitan Visinema Pictures, Jagartha, Blibli dengan kerjasama Astro Shaw terlebih dulu ditayangkan di Indonesia pada 25 Ogos lalu dan berjaya menarik lebih 1.2 juta penonton dalam tempoh kurang satu minggu tayangan.

Kekuatan filem Mencuri Raden Saleh bukan hanya pada jalan cerita yang segar dan sarat babak aksi mendebarkan, tetapi turut mengetengahkan kisah golongan Gen-Z yang dijayakan barisan pelakon muda yang berjaya mengukir nama menerusi filem ‘box office’ Indonesia seperti Iqbaal Ramadhan (filem Dilan), Angga Yunanda (Habibie & Ainun 3), Aghniny Haque (KKN di Desa Penari), Rachel Amanda (Dua Garis Biru), Umay Shahab (Danur 3) dan Ari Irham (Generasi 90an : Melankolia).

Pengarah yang juga penerbit eksekutif, lakon layar dan idea asal filem ini Angga Dwimas Sasongko berkata, idea menghasilkan Mencuri Raden Saleh tercetus pada 2018 dan mengambil masa lebih tiga tahun untuk menyempurnakan dari proses penulisan hingga ke penerbitan.

“Filem ini juga mengambil masa satu tahun untuk menghimpunkan semua enam pelakon anak muda yang menerajui watak utama filem ini. Kami amat gembira filem ini mendapat sambutan baik penonton Indonesia dan mengharapkan filem ini di Malaysia juga mampu menerima reaksi baik daripada penonton,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Astro Shaw berbesar hati dapat meneruskan kerjasama dengan Visinema Pictures menerusi filem terbaharu ini.

“Filem aksi ‘heist’ ini diarahkan oleh pengarah ‘box office’ Indonesia, Angga Dwimas Sasongko dan kami amat teruja berpeluang bekerjasama serta bertukar idea kreatif dengan pengarah dan penerbit hebat ini. Kami percaya bahawa usaha sama sebegini adalah langkah untuk industri terus maju dalam mengangkat filem ke persada dunia yang lebih mampan.

“Kami bersedia dan teruja untuk mempersembahkan filem ini kepada peminat dan penonton di Malaysia. Tambah lagi jalan cerita yang segar dan genre yang ditampilkan dalam Mencuri Raden Saleh menepati cita rasa penggemar filem di Malaysia. Kami harap kerjasama strategik antara kedua-dua pihak ini mampu memberi manfaat besar buat penonton, sekali gus memperluaskan landskap perfileman dua negara dalam mempelopori industri perfileman serantau Asia,” katanya.

Mencuri Raden Saleh mengisahkan enam remaja yang mempunyai kepakaran berbeza bergabung dan merancang merompak sebuah lukisan Raden Saleh atas arahan seorang yang berpengaruh dan berkuasa.

Namun misi mereka dikhianati dan mereka menjadi buruan polis. Justeru, mereka nekad membalas dendam dengan mencuri kembali lukisan Raden Saleh serta membersihkan nama baik mereka.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat