KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon terkenal, Nabila Razali, telah dilantik sebagai Duta Salam Taiwan 2024, satu pencapaian signifikan dalam karier seni beliau yang telah menjangkau lebih sedekad. Pelantikan ini bukan sahaja memberi penghormatan besar kepada Nabila, tetapi juga tanggungjawab besar untuk mempromosikan Taiwan sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim kepada rakyat Malaysia.
Nabila, yang lebih mesra dikenali sebagai Bella, menganggap peluang ini sebagai satu penghormatan besar, terutama kerana Taiwan telah lama menjadi destinasi yang diimpikannya. “Pelantikan ini membuka mata Bella mengenai komitmen Taiwan dalam menyediakan pelancongan yang mesra Muslim. Banyak yang Bella pelajari, dan ini menjadikan pengalaman ini lebih bermakna,” kata Nabila yang kini berusia 31 tahun.
Bukan sekadar promosi semata-mata, Nabila juga telah beberapa kali melawat Taiwan dan mengakui masih banyak yang ingin diterokainya. Beliau turut berkongsi pengalaman menarik mendaki Bitoujiao Trail dan berbasikal di Tanyashen Greenway di Taichung, selain menikmati makanan halal tempatan seperti ayam goreng Taiwan yang menjadi kegemarannya.
Pelantikan Nabila sebagai duta ini merupakan strategi terkini Pentadbiran Pelancongan Taiwan untuk memperkukuh hubungan dengan Malaysia, salah satu pasaran utama bagi pelancongan Muslim. Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran Pelancongan Taiwan, MOTC, Chou Ting-chang, menyatakan bahawa sejak jenama Salam Taiwan diperkenalkan pada 2018, Taiwan semakin kukuh sebagai destinasi pilihan pelancong Muslim dari Malaysia.
Selain daripada pelantikan Nabila, Pentadbiran Pelancongan Taiwan turut melancarkan kempen video promosi “Jom Taiwan” dan risalah panduan perjalanan Muslim untuk memudahkan lagi pelancong Muslim merancang percutian mereka ke Taiwan. Peningkatan ketara pelancong dari Malaysia ke Taiwan pada tahun ini turut menunjukkan hasil positif dari usaha berterusan Taiwan dalam memenuhi keperluan pengembara Muslim.
Sebagai sebahagian daripada kempen ini, Nabila juga akan membuat penampilan khas di Pameran Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair 2024) di Kuala Lumpur pada 7 September ini. Peminat berpeluang untuk bertemu beliau dalam sesi ‘meet-and-greet’, sekaligus memberi peluang kepada mereka untuk mengetahui lebih lanjut mengenai destinasi pelancongan Taiwan.
Dengan pengaruh media sosialnya yang besar, Nabila dijangka mampu memberi impak besar dalam menarik lebih ramai pelancong Muslim ke Taiwan. “Bella berharap dapat berkongsi pengalaman menarik ini dengan lebih ramai rakyat Malaysia dan memberi inspirasi kepada mereka untuk meneroka keindahan Taiwan,” tambahnya.