Pulau Pinang, – Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang melahirkan rasa sedih dan dukacita mendalam terhadap tragedi yang meragut nyawa Allahyarhamah Zara Qairina, seorang murid yang dilaporkan maut dalam satu insiden tragik di sekolah sebuah tempat yang sepatutnya paling selamat buat anak-anak.
Dalam satu kenyataan tegas hari ini, Ketua Penerangan Puteri UMNO negeri, Farah Izzati Abdul Rahman menyeru agar siasatan penuh dan telus dijalankan segera, dan mana-mana pihak yang cuai mesti dipertanggungjawabkan sepenuhnya tanpa kompromi.
“Kami tahu tiada kata-kata mampu mengubat luka ibu bapa yang kehilangan anak dalam keadaan sebegini. Namun dalam kesedihan ini, kita tidak boleh hanya bersedih kita mesti bertindak,” tegas beliau.
Puteri UMNO Pulau Pinang menyambut baik kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dalam siasatan bersama pihak polis, namun menekankan keperluan ketelusan, keadilan dan tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau institusi yang gagal dalam menjalankan tanggungjawab melindungi pelajar.
Dalam masa sama, Farah Izzati menyeru masyarakat agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau spekulasi, tetapi menegaskan bahawa kes ini tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa pembelaan.
“Zara Qairina bukan sekadar nama. Dia adalah peringatan bahawa nyawa anak-anak kita terlalu berharga untuk dijadikan taruhan,” katanya.
Beliau turut mendesak agar semua sekolah di seluruh negara menyemak dan memperketat semula prosedur keselamatan, sistem pemantauan murid, serta tanggungjawab pengurusan sekolah bagi mengelakkan tragedi seumpama ini daripada berulang.
Puteri UMNO Pulau Pinang juga menyokong usaha menyediakan sokongan psikososial kepada murid, guru dan keluarga yang terkesan, namun menggesa agar bantuan tersebut disalurkan dengan segera dan menyeluruh.
“Sebagai anak muda, sebagai ibu, sebagai pemimpin kami tidak mahu lihat anak-anak kita menjadi mangsa kepada sistem yang cuai dan lemah,” tambahnya.
Puteri UMNO Pulau Pinang menegaskan komitmen untuk terus bersuara demi keadilan buat Allahyarhamah Zara Qairina dan keselamatan semua anak-anak di institusi pendidikan seluruh negara.-SUARA.TV



