CheguBard ditahan bawah Akta Hasutan, Armada tuntut Anwar letak jawatan serta-merta

KUALA LUMPUR – Ketua Armada Bersatu Hilman Idham mengecam keras tindakan pihak polis yang telah menahan Badrul Hisham Shaharin @ Chegu Bard di bawah Akta Hasutan, Komunikasi dan beberapa akta lain.

Menurut beliau, akta-akta ini adalah sebahagian daripada akta drakonian yang sebelum ini dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk dimansuhkan selaras dengan agenda reformasi.

“Laungan Refor-Mati yang bergema di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu dengan ratusan ribu rakyat menuntut Perdana Menteri meletakkan jawatan adalah tepat kerana kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam melaksanakan agenda reformasi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Justeru ADUN Gombak Setia itu berkata, Armada Bersatu Malaysia menggesa Perdana Menteri meletakkan jawatan serta merta tanpa berselindung di belakang akta drakonian.

Sementara itu,peguam bela dan peguam cara Rafique Rashid memberitahu, pada jam 2.30 petang sebentar tadi pihaknya telah menerima pemakluman bahawa CheguBard aktivis dan ahli politik Bersatu ditahan di kediamannya.

“Semalam kami telah menerima pengesahan bahawa laporan polis terhadap CheguBard adalah berkaitan Himpunan Turun Anwar yang diadakan pada 26 Julai 2025 di Kuala Lumpur.

“Kertas siasatan dibuka atas dakwaan empat (4) kesalahan iaitu – Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955; Seksyen 504 Kanun Keseksaan; Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998; dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

“Temu janji antara pegawai penyiasat dan CheguBard berkenaan perkara ini telah pun ditetapkan pada hari Selasa 29 Julai 2025 jam 11:00 pagi. Oleh itu, tangkapan
dalam kes ini tidak diperlukan kerana CheguBard sentiasa telah memberi akujanji untuk menghadirkan diri di Bukit Aman,” jelas Rafique.

Ujarnya, tindakan pihak berkuasa dan/atau arahan yang diberikan oleh pihak atasan adalah amat dikesali lebih-lebih lagi apabila tiada sebarang insiden tidak diingini
semasa dan/atau susulan daripada Himpunan Turun Anwar.

“Pihak kami akan menghubungi pegawai penyiasat berkenaan dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” kata Rafique.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat