Peralihan perakam waktu

- Advertisement -

ERA jam tangan konvensional sudah sampai penghujungnya. Itu adalah realiti perkongsian pasaran yang menunjukkan jam pintar sudah ‘memakan’ pasaran jam tangan konvensional secara global.

Walaupun tidak dinafikan masih ada penggemar atau pengumpul jam tangan konvensional, namun pengguna secara massa sudah bermigrasi kepada jam pintar.

Berdasarkan data daripada firma penyelidikan pasaran, International Data Corporation (IDC) menunjukkan perkakas boleh pakai atau ‘wearables’ ini merekodkan penghantar secara global mencecah 171 juta unit.

Peredaran teknologi memungkinkan sebarang maklumat boleh diakses dengan mudah dan tidak hanya bergantung kepada telefon pintar, sebaliknya perkakas boleh pakai juga mampu untuk melaksanakan tugas berkenaan.

Ia direkodkan pada suku keempat tahun lalu, sekali gus menjadi rekod baharu untuk penghantaran unit perkakas boleh pakai.

Jelas ia bukan lagi trend sebaliknya sudah menjadi keperluan apabila semua kefungsian bermula daripada pemantauan jantung sehingga kepada memberi notifikasi penting seperti panggilan telefon atau mesej.

Pengeluar Apple menerusi siri Apple Watch merekodkan penjualan paling tinggi iaitu 59.7 juta pada suku keempat tahun lalu dengan dominasi pasaran sebanyak 34.9 peratus.

 

SEGMEN perkakas boleh pakai pintar mendominasi selepas pengguna cenderung mendapatkan jam pintar bagi tujuan memudahkan tugasan harian.

 

Situasi sama turut berlaku pada suku keempat 2020 apabila Apple merekodkan penghantaran perantinya berjumlah 55.6 juta manakala di tempat kedua adalah Xiaomi.

Faktor harga yang mampu milik berbanding dengan jam tradisional kelas premium turut menjadi pendorong penting kepada migrasi perkakas penunjuk waktu berkenaan secara keseluruhannya.

Berdasarkan kajian kes di India mendapati bahawa permintaan jam pintar meningkat 300 peratus berbanding jam tangan tradisional apabila kebanyakan pengguna sudah menerima kefungsian segmen baharu jam tangan berkenaan.

Sesuai dengan gaya hidup masa kini, pengguna lebih cenderung untuk memilih jam pintar kerana ia bukan saja tampak lebih moden sebaliknya turut dilengkapi dengan ‘jurulatih maya’ untuk rutin kecergasan harian.

Jika pemilihan jam pintar itu hanya bersandarkan kepada notifikasi mesej atau panggilan, pastinya dominasi masih dikuasai jam tradisional, namun kefungsian peranti berkenaan sudah merangkumi kepelbagaian keupayaan.

Faktor lain yang menjadi menyumbang besar kepada peralihan jam pintar ini adalah perluasan segmen telefon pintar dan perkakas berkenaan boleh diseragamkan dengan mod atau tetapan yang dikehendaki oleh pengguna.

Beberapa pengeluar jam tradisional juga sudah mula beralih arah dengan memperkenalkan barisan jam pintar mereka sesuai dengan peredaran masa.

 

REKAAN jam pintar pada ketika ini yang ringan membuatkan pengguna selesa melaksanakan aktiviti fizikal serta bersukan.

 

Mungkin untuk tempoh yang akan datang, jam tradisional hanya digunakan kepada pemakai fanatik segmen berkenaan ataupun pengumpul penunjuk waktu.

Walaupun terdapat pandangan bahawa jam tradisional kelihatan lebih profesional dan model yang dikeluarkan tidak luput ditelan zaman, namun pengguna hari ini lebih cenderung untuk memilih kefungsian yang ditawarkan.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat