Annuar paling teruja tularkan sidang media Tajuddin – Puad

KUALA LUMPUR- Tan Sri Annuar Musa didakwa individu paling teruja dan aktif menularkan dan berkongsi sidang media Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semalam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, pendedahan Tajuddin dianggap bola tanggung Annuar untuk membidas UMNO.

“Suka Annuar Musa dengan sidang media Tajuddin. Dia paling aktif “viral dan share” laporan media terutamanya portal terhadap sidang media Tajuddin semalam.

“Pada Annuar itu bola tanggung untuk “smash” UMNO. Annuar kata tindakan terhadap Tajuddin akan timbulkan krisis. Memang Annuar mahu begitu. Sebab itu dia viral dan share,” kata Puad.

Pun begitu, menurut Speaker DUN Johor itu, sidang media Tajuddin didakwa masuk bakul angkat sendiri itu banyak putar belit.

“Ramai tahu Tajuddin anjur banyak pertemuan dirumahnya. Kenapa pusing 200 darjah? Dia fobia bila disiasat SPRM. Ramai saksi hidup.

“Tajuddin rupanya sama standard dengan Dr Xavier Jayakunar (kes rasuah), ADUN Tronoh (kes rogol). Dan Peter Anthony (rasuah). Semua jadi takut dan cair bila disiasat SPRM.

“Legasi kepahlawanan Pasir Salak memang hebat. Malangnya saksi hidup Pasir Salak moden cepat cair,” tempelak Puad.

Selepas digugurkan sebagai Ahli MKT UMNO pada Khamis lalu, Tajuddin buat pertama kalinya membuka mulut bagi menjawab persoalan mengenai perkembangan tersebut pada Isnin.

Sebelum itu pada Jumaat, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan pemecatan Tajuddin itu dilakukan kerana sikap pemimpin itu yang didapati mengkritik parti menerusi kenyataan, ucapan dan ceramah dalam mesyuarat tertutup yang dihadirinya.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat MKT UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada malam Jumaat berkata, langkah itu diambil bagi memberi peluang kepada Tajuddin untuk bertugas sepenuh masa sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Kekosongan ditinggalkan oleh Tajuddin itu juga telah diisi oleh bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor, Isham Jalil.