Moratorium Selama Enam Bulan Bermula Julai – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu sama ada daripada golongan B40, M40 atau T20 serta usahawan mikro, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata tidak ada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, semakan sama ada pemohon telah hilang pekerjaan dan dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan.

“Anda cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik.

“Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank,” katanya semasa mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang disiarkan secara langsung, hari ini..

Muhyiddin berkata, permohonan akan dibuka pada 7 Julai, 2021, dan peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan.

“Saya berharap inisiatif moratorium ini dapat sedikit sebanyak membantu peminjam individu dan PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka semasa tempoh yang mencabar ini.

“Bagaimanapun, saya juga ingin berpesan gunalah tawaran ini dengan sebaiknya dan jika tidak mendesak, janganlah membuat tambahan komitmen kewangan lain,” ujarnya,

Menerusi pakej bantuan PEMERKASA Tambahan, kerajaan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak bank telah melaksanakan inisiatif bayaran balik pinjaman secara bersasar.

Setakat ini, lebih daripada 250,000 peminjam yang layak telah mendapat kelulusan secara automatik, memilih sama ada untuk mendapatkan moratorium selama tiga bulan atau pengurangan bayaran ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan BNM juga komited untuk menyediakan akses bantuan kewangan kepada usahawan PKS.

Sehingga kini, masih terdapat RM6.6 bilion baki sedia ada daripada keseluruhan RM25.1 bilion yang telah disediakan oleh bank pusat untuk manfaat pemohon baharu.

“Melalui pakej PEMULIH, BNM bersetuju untuk menambah RM2 bilion lagi menjadikan baki dana ini berjumlah RM8.6 bilion.

“Diharapkan dana ini dapat memenuhi pelbagai keperluan PKS dan usahawan mikro dalam meredakan kekangan aliran tunai perniagaan mereka,” tambahnya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat