Tahniah Kinabalu Geopark Kini Diiktiraf Sebagai The Kinabalu UNESCO Global Geopark – Nik Nazmi

- Advertisement -

CYBERJAYA – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pengiktirafan Kinabalu Geopark sebagai The Kinabalu UNESCO Global Geopark.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata keputusan pengiktirafan tersebut telah dibuat oleh Lembaga Eksekutif UNESCO di Paris pada 25 Mei 2023 bersama dengan 17 Geopark yang lain.

“Kinabalu Geopark merupakan Geopark kedua di Malaysia yang mendapat pengiktirafan sebagai Global Geopark selepas Langkawi Geopark.

“Kinabalu Geopark yang berkeluasan 4,750 km persegi; meliputi daerah Kota Belud, Kota Marudu dan sebahagian daerah Ranau serta mempunyai 46 geotapak, 12 biotapak, dan 8 tapak budaya telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan pada 18 Mac 2020.

“Geopark ini diuruskan oleh Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah dengan kerjasama pemegang taruh yang lain. Kinabalu Geopark telah menjalani penilaian oleh panel penilai rangkaian UNESCO Global Geopark (UGGp) pada 18 hingga 21 Julai 2022.

“Pengiktirafan Kinabalu Geopark sebagai UGGp, telah melengkapkan ketiga-tiga program UNESCO di Negeri Sabah iaitu World Heritage Site (WHS), Man and the Biosphere (MAB) dan UNESCO Global Geopark (UGGp). Ketiga-tiga program UNESCO yang diuruskan oleh Taman-taman Sabah telah mengangkat nama Malaysia sebaris dengan beberapa negara yang diberikan jolokan sebagai negara penyandang “Triple Crown” program UNESCO,” katanya, menerusi satu kenyataan media, semalam.

Tambahnya lagi, pengiktirafan itu merupakan satu lagi pencapaian negara yang amat bermakna khususnya kepada Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan dalam usaha memelihara kelestarian alam semula jadi dan pengurusan mampan kawasan UNESCO Global Geopark yang memiliki nilai kepentingan antarabangsa (geosite of extraordinary values) seiring dengan Agenda Pembangunan Negara dan Matlamat
Pembangunan Lestari 2030 (SDG’s) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kementerian ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan diatas pengiktirafan ini terutama kepada Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Perlancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Lembaga Pemegang Amanah TamanTaman Sabah, Pejabat Daerah Ranau, Kota Belud serta Kota Marudu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Kementerian yakin kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri dapat memastikan kawasan Geopark diurus dengan baik dan mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama di kawasan yang mempunyai kepentingan geologi bagi tujuan penyelidikan saintifik, pendidikan, penjanaan ekonomi penduduk setempat dan pembangunan mampan.

“NRECC akan terus menyokong dan bekerjasama dengan Kerajaan-kerajaan negeri untuk mencalonkan geopark-geopark kebangsaan lain yang memenuhi kriteria Global Geopark di bawah UNESCO bagi mendapatkan pengiktirafan peringkat antarabangsa,” katanya.

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat