KKAIMB Sumbang RM50,000 Bantu Asnaf Miskin Di Pulau Pinang

CYBERJAYA: Koperasi Kakitangan Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KKAIMB) memperuntukkan sebanyak RM50,000 sebagai sumbangan zakat kepada 250 asnaf miskin di seluruh Parlimen Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Daripada jumlah itu, setiap yang layak, menerima sebanyak RM200 seorang.

Sumbangan zakat berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang juga penaung KKAIMB, YB Datuk Haji Shabudin Yahaya pada majlis yang diadakan di Pokok Sena, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Sabtu.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz,
Pengerusi Ahli Lembaga KKAIMB, Haji Saad Ishak; Ketua Pegawai Kewangan
KKAIMB, Haji Amir Hamzah Rahmat; Ketua Pegawai Operasi KKAIMB, Azrul Nizam Akashah; serta pengurusan kanan KKAIMB dan AIM.

Dalam ucapannya, Shabudin berkata, sumbangan zakat ini adalah salah satu tanggungjawab sosial KKAIMB bagi meringankan beban asnaf serta menyerikan lagi sambutan Syawal mereka.

Menurutnya, secara keseluruhannya, KKAIMB memperuntukkan sebanyak RM250,000 untuk sumbangan zakat di beberapa kawasan di seluruh negara.

Ujarnya, majlis sama telah diadakan pada 30 April lalu di Tanjong Karang, Selangor yang disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, YB Tan Sri Noh Haji Omar.

Untuk rekod, KKAIMB adalah sebuah koperasi kredit yang ditubuhkan pada 13 Jun 1996 di bawah Akta Koperasi 1993 dengan keanggotaan sehingga kini seramai 2,047 ahli dan modal syer sebanyak RM2.08 juta.

Perkhidmatan utama KKAIMB adalah Pengurus Tabung Khairat Hutang (TKH), pembiayaan Islam dan kemudahan kredit kepada anggota, pembekalan, hartanah dan perladangan.