Simpanan air di empat empangan turun cecah paras kritikal – NADMA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Empat empangan air di Johor, Pulau Pinang dan Kedah mencatat penurunan simpanan sumber air mentah kepada paras kritikal, setakat semalam, susulan cuaca panas.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan empangan berkenaan ialah Empangan Sembrong Barat di Johor yang kini merekodkan paras 31.65 peratus; Empangan Air Itam di Pulau Pinang (35 peratus); dan Empangan BS Padang Saga (39.67 peratus) serta Empangan Malut (39.90 peratus) di Kedah.

NADMA yang memetik Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkata, stok simpanan air di Empangan Muda, Kedah, pula berada pada paras amaran dengan 41 peratus.

“Tiga empangan lagi menunjukkan stok simpanan air berada pada paras waspada, iaitu Empangan Timah Tasoh di Perlis (56.25 peratus), Empangan Bekok di Johor (68.58 peratus), dan Empangan Teluk Bahang di Pulau Pinang (69.00 peratus),” katanya dalam laporan ringkas mengenai status cuaca panas, hari ini.

Menurut NADMA lagi, JPS pada 25 Mac lalu mengeluarkan hebahan ramalan kemarau bagi tiga lembangan sungai, iaitu Sungai Muda Kedah, Sungai Kelantan dan Sungai Melaka.

NADMA memaklumkan, keadaan itu mungkin akan menyebabkan masalah gangguan bekalan air di daerah Sik, Kedah; Pasir Mas, Machang, Tanah Merah dan Kota Bharu (Kelantan); serta Alor Gajah (Melaka).

Dalam pada itu, NADMA berkata, cuaca panas tahap 2 (gelombang haba) direkodkan di Perlis pada 25 hingga 27 Mac; daerah Beaufort, Sabah (25 Mac); daerah Hulu Perak, Perak (26 dan 27 Mac); serta daerah Kota Setar dan Pokok Sena, Kedah (27 Mac).

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi dilaporkan berkata, fasa peralihan monsun dijangka bermula esok dan berterusan hingga Mei depan yang menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2023/24.

Permulaan fasa peralihan monsun dengan keadaan cuaca panas dan kering yang sedang berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara, dijangka beransur pulih menjelang pertengahan April. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat