‘Perkembangan tidak sihat buat industri’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Ini merupakan satu perkembangan yang tidak sihat buat industri.”

Demikian penegasan pengarah popular tanah air, Along Kamaludin, berhubung penggunaan klip video kontroversi sebagai ‘teaser’ atau iklan acah sebuah drama tempatan yang dimuat naik oleh pelakon Zul Ariffin ke laman Instagramnya, baru-baru ini.

Along atau nama sebenar Shahrom Kamaludin, 56, yang sudah bergiat dalam bidang seni selama 37 tahun, mengaku kecewa dengan insiden itu yang baginya bukan sahaja mengaibkan industri tetapi juga mencemarkan imej agama Islam.

Beliau turut mempersoalkan motif di sebalik rakaman babak itu yang menurutnya, memang jelas tidak akan disiarkan oleh stesen penyiaran tempatan.

Minggu lalu, dunia hiburan tanah air kecoh apabila Zul memuat naik iklan acah menampilkan babak ‘panas’ ala filem Barat, lakonannya bersama pelakon baharu, Siti Hariesa, dipercayai bagi mempromosikan drama berjudul ‘Perempuan itu’ arahan Ain Sharif yang dijadualkan untuk siaran ketika Ramadan ini.

Insiden itu mencetuskan kecaman masyarakat, bukan saja terhadap pelakon lelaki berkenaan tetapi juga kepada penerbit Erma Fatima yang disangka umum adalah pengarah drama terbabit.

Malah, isu berkenaan turut mendapat perhatian pemimpin negara serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang melihat senario itu sebagai sesuatu yang bercanggah dengan ajaran Islam, selain tidak peka dengan sensitiviti budaya masyarakat di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, menerusi Facebook miliknya berkata beliau akan menghubungi pihak yang berkenaan bagi memberi nasihat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM), Tan Sri Annuar Musa, dalam hantaran melalui Twitter pula menegaskan adegan sedemikian tidak akan dibenar ditayangkan kepada umum, baik ketika Ramadan mahupun pada bulan-bulan lain.

Kecaman hebat masyarakat menyebabkan Zul memadamkan klip video berkenaan yang ketika itu sudah mencecah lebih 700,000 tontonan dan menerima lebih 12,000 komen. Pelakon berkenaan turut meminta maaf.

Bagaimanapun, pengarah drama berkenaan, Ain dipetik berkata, adegan dikongsikan oleh Zul itu merupakan babak versi kedua dan sekadar untuk publisiti.

Mengulas lanjut isu itu, Along berkata, pemerhatiannya mendapati ramai penggiat seni baik pelakon, pengarah mahupun penerbit, menggunakan cara sedemikian dewasa ini bagi menarik perhatian masyarakat, sama ada untuk cepat popular, menambah jumlah pengikut media sosial masing-masing, atau mempopularkan kembali mereka yang mungkin sudah ‘suam-suam kuku’.

Along yang memulakan karier seninya sebagai pelakon sebelum terbabit bidang pengarahan pada 1998, mengaku ada pengarah baharu didakwa cuba mengambil jalan singkat untuk memperkenalkan diri dengan menghasilkan babak sedemikian.

Beliau menegaskan untuk menjadi pengarah yang bagus, seseorang perlu menimba pengalaman dan ilmu, selain meningkatkan kreativiti yang semuanya mengambil masa, selain penggiat seni juga perlu jujur dalam menghasilkan karya masing-masing.

“Saya hendak menasihati rakan industri, sebelum kita buat sesuatu, fikirkan dulu implikasinya.

“Kita ada garis panduan LPF, mengapa tidak ikut? Apa yang saya bimbangkan, apabila ia dipromosikan dalam media sosial milik pelakon atau mana-mana penggiat seni, di situ tidak ada tapisan sebagaimana di stesen televisyen, dan bayangkan apabila yang menontonnya adalah kanak-kanak,” katanya.

Kebimbangan beliau ada asasnya memandangkan artis merupakan tokoh masyarakat yang sentiasa menjadi tumpuan ramai, khususnya peminat mereka.

Malah, ada yang menjadikan golongan ini sebagai idola dengan meniru apa sahaja yang dilakukan oleh pelakon serta artis pujaan mereka, termasuk dari segi fesyen dan lain-lain.

Along berkata, selaku tokoh masyarakat, penggiat seni mempunyai tanggungjawab besar, selain berpotensi tinggi dalam pembentukan jati diri dan identiti sesebuah masyarakat.

Justeru, katanya, amat penting bagi seseorang pelakon, penyanyi, pengarah dan sesiapa sahaja berhati-hati dengan apa yang ingin dikongsikan atau dimuat naik ke laman media sosial mereka.

“Tiada siapa yang boleh halang apabila kita hendak berkongsi sesuatu dalam media sosial, namun kita kena pertimbang dahulu sama ada ia wajar dikongsikan bersama peminat atau sebaliknya,” katanya sambil menasihati supaya ‘jangan sudah terhantuk, baru tengadah’, merujuk kepada akibat yang kini ditanggung oleh Zul.

Pelakon itu dilaporkan akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Seksyen itu merujuk kepada penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya, serta boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Walaupun bersetuju dengan tindakan tegas berkenaan, Along berpandangan pelakon itu juga wajar diberikan peluang untuk membaiki kesilapannya.

“Manusia tidak lari daripada membuat kesilapan dan tidak semestinya apabila dia melakukan kesalahan, akan terus melakukan kesilapan lagi. Selain itu, kita perlu mencari akar umbinya, iaitu dari mana klip video itu datang walaupun Zul yang memuatnaikkannya.

“Dia mungkin alpa dengan populariti, mungkin tidak sedar benda itu salah, maka sebaik-baiknya kita berilah dia peluang kerana manusia ini boleh berubah,” katanya.

Pandangan sama turut diutarakan penerbit dan pengarah popular, Shahrulezad Mohameddin yang berpendapat tindakan tegas sewajarnya dikenakan kepada semua yang terbabit dalam pembikinan babak berkenaan dan bukan pada pelakon itu saja.

“Sudah tentu ramai yang terbabit. Bagaimanapun, sama ada perlu diharamkan atau tidak (mereka yang terbabit), saya rasa tidak perlu.

“Mungkin sekadar diberi amaran keras kepada semua yang terbabit kerana ini mungkin kesalahan pertama buat mereka. Apa-apapun terpulanglah kepada justifikasi kementerian (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) dan pihak yang terbabit,” katanya.

Shahrulezad yang terkenal dengan drama bersiri ‘Nur’ berkata, beliau juga tidak melihat teguran MenKOMM itu sebagai batasan kepada penggiat seni dalam berkarya.

“Teguran itu wajar kerana dalam apa jua perkara yang kita lakukan dalam hidup, tidak ada sesuatu pun yang betul-betul bebas, termasuklah dalam berkarya. Apatah lagi kita sebagai orang Islam, kenalah tahu batasan dalam berkarya,” katanya.

Sementara itu, Along menegaskan penghasilan sesebuah drama atau filem turut melambangkan identiti bangsa dan negara.

Menyifatkan drama tempatan sebagai “wajah kita”, beliau berkata sebaik-baiknya syarikat produksi tempatan menghasilkan karya yang memaparkan identiti masyarakat tempatan kerana itulah elemen yang ingin dilihat penonton luar, bukan babak panas yang menyamai filem Barat.

“Tidak perlulah kita hendak ikut budaya Barat dalam drama. Mereka buat adegan panas itu lebih dahsyat daripada kita kerana itu budaya mereka.

“Orang luar sebenarnya hendak tonton sesuatu yang unik bagi sesebuah negara itu dan antaranya ialah identiti dan budaya masyarakat,” katanya.

Pada masa sama, Along turut menyangkal persepsi bahawa filem atau drama tidak akan mendapat sambutan jika tidak ada adegan romantis seperti berpegang tangan dan sebagainya.

Memberi contoh drama bersiri arahannya ‘Cinta Si Wedding Planner’ yang dilakonkan oleh Mira Filzah dan Adi Putra, beliau berkata, karyanya masih mampu meraih lebih empat juta tontonan walaupun tidak ada adegan berpegangan tangan.

“Dalam skrip itu ada menyatakan bahawa Adi berpegangan tangan dengan Mira, tetapi saya tanya dulu Mira sama ada dia mahu melakonkan adegan itu atau tidak sebab dia memakai tudung.

“Mira respons bolehkah sekiranya tidak berpegangan tangan, dan saya tidak ada masalah untuk mengubah skrip berkenaan. Drama itu tetap popular walaupun tidak ada adegan sensasi, dan bagi saya ia bergantung pada kreativiti pengarah untuk menterjemahkannya,” katanya. – BERNAMA

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat