KUALA LUMPUR, 28 Januari 2026 – Industri muzik Malaysia melangkah ke fasa baharu dengan pelancaran program Bintang Uni-Verse, sebuah inisiatif strategik yang menyatukan dunia pendidikan tinggi dan industri hiburan profesional. Program ini diterajui oleh Universal Music Malaysia (UMMY) bersama rakan strategik, L.Y. Music Factory dan Faithful Music, sebagai usaha bersepadu melahirkan bakat muda berdaya saing dari institusi pengajian tinggi.
Dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Binti Azman, pelancaran ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh peranan industri kreatif sebagai rakan strategik kepada ekosistem pendidikan negara. Bintang Uni-Verse bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar universiti untuk menyerlahkan bakat nyanyian, malah berfungsi sebagai platform pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar industri hiburan tempatan.

Menurut Universal Music Malaysia, pendekatan program ini melangkaui konsep pertandingan semata-mata. Ia direka untuk memberi pendedahan menyeluruh merangkumi bimbingan profesional, pemindahan ilmu industri, serta pemahaman realistik tentang perjalanan kerjaya dalam bidang muzik. Melalui inisiatif ini, pelajar bukan sahaja dinilai dari aspek vokal, tetapi turut dibentuk dari segi disiplin, keyakinan diri dan pemikiran profesional.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, menyifatkan Bintang Uni-Verse sebagai satu platform penting dalam pembangunan bakat muzik tempatan. Menurut beliau, peserta bakal memperoleh pendedahan, bimbingan dan pengalaman industri yang sangat bernilai, selain membuka peluang untuk memperluas jaringan antara dunia akademik dan industri muzik.
Beliau turut menyatakan harapan agar Bintang Uni-Verse dapat menjadi asas kukuh dalam mencungkil serta membina bakat Malaysia, menginspirasi kreativiti dan membentuk generasi artis baharu yang berdaya saing, sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Sementara itu, Pengarah Kreatif L.Y. Music Factory, L.Y., melihat program ini sebagai satu inisiatif pembangunan profesional yang menyeluruh. Menurut beliau, Bintang Uni-Verse memberi penekanan kepada elemen pemindahan ilmu, di mana pemain industri berkongsi pengalaman sebenar dengan pelajar, sekali gus membantu mereka memahami realiti dan keperluan kerjaya dalam industri muzik.
Pelancaran ini turut diserikan dengan persembahan artis-artis di bawah naungan Universal Music Malaysia seperti Nuha Bahrin, Ismail Izzani dan Mohsein Kush, yang mempamerkan kreativiti serta kecemerlangan muzik tempatan sebagai inspirasi kepada bakat-bakat baharu.

Mohsein Kush dalam pesanan ringkasnya kepada para peserta menggalakkan mereka untuk memberikan komitmen sepenuhnya dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian. Nuha Bahrin pula berharap Bintang Uni-Verse dapat menjadi platform yang membantu peserta meneroka potensi diri, membina keyakinan dan seterusnya memberi impak positif kepada industri muzik negara.
Dengan pendekatan holistik yang menggabungkan bakat, pendidikan dan pengalaman profesional, Bintang Uni-Verse dilihat berpotensi memperkasakan generasi muda tempatan serta membuka peluang untuk mewakili Malaysia di pentas serantau dan antarabangsa.
Maklumat lanjut mengenai tarikh uji bakat, jadual jelajah kampus dan garis panduan penyertaan akan diumumkan melalui platform rasmi Universal Music Malaysia dalam masa terdekat.



