KUALA LUMPUR – Masa depan negara tidak wajar diserahkan kepada kebetulan dan nasib semata-mata.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menegaskan, maju mundur sesebuah negara tidak tergantung sekadar dasar atau institusi, tetapi pada kualiti kepimpinan yang kita bentuk untuk masa depan.
“Saya ‘passionate’ dalam usaha membina generasi pemimpin baharu kerana saya punya keyakinan yang tinggi terhadap anak muda Malaysia yang ada wawasan dan punya daya fikir kritikal dan kreatif.
“Inisiatif seperti Sekolah Parlimen, Parlimen Belia, dan pelbagai program pembangunan kepimpinan bukan sekadar aktiviti sambilan; malah suatu pelaburan jangka panjang untuk memastikan negara ini terus dikemudi oleh pemimpin yang punya integriti, strategik dan memahami keperluan rakyat.
“Pengalaman saya selama berdekad dalam pentadbiran awam, bidang korporat dan politik meyakinkan saya bahawa perubahan yang paling kekal bermula daripada pembinaan sahsiah, nilai dan wawasan dalam diri pemimpin muda.
“Kita tidak boleh menyerahkan masa depan negara kepada kebetulan dan nasib semata-mata. Anak muda perlu diberikan bimbingan dan dukungan secara sistematik,” tegas Johari.
Sebab itu beliau komited memastikan Parlimen menjadi sebuah “Sekolah Demokrasi”, tempat yang bukan sahaja membentuk dasar, tetapi membentuk manusia.
“Apabila negara dapat melahirkan pemimpin yang benar-benar memahami nilai demokrasi, tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia dan perpaduan masyarakat, maka kita sedang membina asas kukuh untuk sebuah Malaysia yang lebih terangkum, progresif dan berdaya saing,” ujar beliau.



