KUALA LUMPUR – Pimpinan Umno didakwa tidak lebih daripada lalat dalam Kerajaan Perpaduan, dakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau malah membenarkan label ‘lalat dan singa’ yang diguna pakai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming terhadap salah seorang pemimpin Umno.
“Yang Berhormat Ahli Umno, mengikut Nga Kor Ming Umno hanya lalat manakala Nga Kor Ming adalah singa.
“Sebab takut singa, Umno terima jadi lalat. Inilah Umno sekarang.
“Tidak lebih daripada lalat dalam kerajaan,” dakwanya dalam catatan pada Selasa.
Baru -baru ini, Kor Ming memaklumkan bahawa beliau tidak berminat untuk melayan mahupun bergaduh dengan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Menurut naib pengerusi DAP itu, beliau tidak akan merendahkan martabatnya dengan melayan kerenah Akmal.
“Dari kedudukan saya, komen saya: singa tidak berdebat dengan lalat.
“Dia tidak setaraf, jadi kami tidak akan bergaduh,” kata Kor Ming.
Sebelum ini, Akmal menyekolahkan Kor Ming berhubung isu sandwic “ham” yang dijual di KK Mart di kampus Universiti Malaya (UM) dengan menggunakan logo halal yang tidak sah.
Dalam laporan China Press, Kor Ming berkata bahawa walaupun beliau tidak akan melayan Akmal, namun DAP tidak akan berdiam diri.