‘Walk in’ Vaksinasi Dos Penggalak Di PPV Seluruh Negara Bermula Esok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menawarkan perkhidmatan vaksinasi dos penggalak Covid-19 secara jumpa terus kepada golongan berusia 18 tahun ke atas, di semua pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negara mulai esok.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, bagi PPV pengamal perubatan swasta (GP) pula, individu dimohon menghubungi klinik swasta terbabit bagi menentukan masa yang sesuai, untuk mendapatkan janji temu vaksinasi dos penggalak itu.

“Ini bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi pada setiap masa, kerana mengambil kira ruang yang terhad di klinik swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairy berkata, individu yang ingin hadir secara jumpa terus, perlu mempunyai sijil vaksinasi digital lengkap dalam aplikasi MySejahtera, bagi melancarkan proses vaksinasi.

“Namun, bagi mereka yang tidak mempunyai sijil vaksinasi digital kerana tiada telefon pintar, maka dikehendaki membawa kad vaksinasi fizikal ke PPV,” katanya sambil menambah jenis vaksin diberikan adalah terhad kepada bekalan yang ada di setiap PPV.

Beliau berkata, senarai PPV GP serta ‘Offsite’ boleh disemak melalui laman sesawang ‘ProtectHealth’ iaitu www.protecthealth.com.my dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

“KKM menjangkakan mobiliti penduduk di dalam negara akan meningkat dan lebih banyak aktiviti sosial atau perkumpulan keluarga akan berlaku, memandangkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

“Sehubungan itu, KKM amat menggalakkan semua penduduk di Malaysia yang layak, untuk mendapatkan dos penggalak dengan segera bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti,” tambahnya.

Sehingga semalam, seramai 11,531,403 atau 49.3 peratus penduduk Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas, sudah menerima dos penggalak vaksin Covid-19. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat