LHDN Kongsi Lima Garis Panduan Urus Cukai Dengan Baik, Elak Tunggakan

- Advertisement -

PETALING JAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkongsi lima petua bagaimana untuk menguruskan perihal cukai dengan baik sekali gus dapat mengelakkan tunggakan cukai dan dikenakan tindakan mahkamah.

Bahagian Komunikasi Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN dalam satu kenyataan berkata, petua pertama adalah sentiasa peka dan mengambil peduli tentang peruntukan undang-undang berkaitan cukai.

“Jika kita benar-benar peka, ambil peduli dan tidak ambil remeh tentang cukai, hal tunggakan cukai sehingga dikenakan tindakan undang-undang tidak akan terjadi.

“Apa yang kita perlu lakukan ialah cakna dengan segala peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, petua kedua adalah merujuk banyak maklumat berkenaan cukai yang banyak terdapat di portal rasmi LHDN www.hasil.gov.my.

Kata kenyataan itu, portal rasmi LHDN turut menyediakan Gerbang Pendidikan Percukaian melalui platform Eduzone yang merangkumi pelbagai risalah, artikel dan video berkaitan percukaian.

“Elak buat rujukan dengan maklumat dikongsi di media sosial yang tidak diiktiraf kerana dikhuatiri maklumat dipaparkan kurang tepat dan terpesong,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, petua ketiga adalah menghubungi LHDN untuk mendapatkan khidmat nasihat yang tepat di talian 03-89111000 atau 603-89111100 bagi panggilan dari luar negara.

Jelas kenyataan itu, pelbagai saluran komunikasi lain seperti HASiL Live Chat, Facebook, Twitter, Instagram dan Borang Maklum Balas Pelanggan turut disediakan untuk dimanfaatkan.

Kata kenyataan itu, petua seterusnya adalah menyemak kedudukan cukai melalui MyTAX sekerap mungkin dan MyTax juga “one stop centre’ bagi pembayar cukai mengisytiharkan cukai mereka dan mendapatkan informasi cukai terkini.

Jelasnya, manakala bagi petua kelima adalah berbincang dengan LHDN untuk ansuran cukai kerana agensi itu sentiasa terbuka kepada perbincangan jika tidak mampu membayar amaun cukai secara sekali gus.

“Bukan setakat ansuran sahaja boleh dibincangkan, malah kita juga boleh membuat rayuan atas kenaikan cukai dikenakan dan rayuan akan dipertimbangkan berdasarkan kepada merit setiap kes,” katanya. – Kosmo

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat