KUALA LUMPUR: Pelopor lawak berkumpulan era baharu, Azlee dari kumpulan Senario berpendapat kecenderungan memasukkan elemen lucah dalam jenaka dipraktikkan segelintir pelawak, wajar dikikis
Azlee berkata, pelawak perlu bijak melemparkan dialog dan menjaga tata susila agar tidak mengundang implikasi buruk.
“Hendak jadi pelawak kena bijak, jaga adab dan tata susila. Sebelum melontarkan dialog, kena fikir dahulu terutama jika membabitkan program siaran langsung.
“Jika program itu dirakam, tidak mengapa, boleh disunting. Jadi, pelawak kena berhati-hati ketika ‘live’,” katanya.
Azlee mengulas laporan khas HIP Isnin lalu, mengenai kecenderungan pelawak memasukkan elemen ‘dalam kain’ atau berbaur lucah dalam persembahan sehingga membimbangkan penonton terutama ibu bapa beranak kecil.
Berkongsi tip, Azlee berkata, pelawak perlu mengambil kira aksi di pentas, ditonton semua lapisan masyarakat.
“Daripada ibu bapa sehinggalah anak-anak… Kita risau apa yang diperkatakan di pentas, menjadi ikutan anak-anak.
“Jadi, pelawak kena elak menggunakan jenaka berunsur lucah. Kita kena tahu had dan sensitiviti. Usah fikir unsur lucah sahaja yang boleh membuatkan penonton ketawa, sedangkan, kita ada banyak idea lain,” katanya.
Azlee berkata, pelawak perlu lebih berhati-hati terutama pada zaman media sosial di mana netizen pantas menghakimi artis.
“Pada era Senario dahulu, tiada YouTube yang boleh diulang tayang video dan laman sosial pula tidak sehebat zaman sekarang. Jadi, pelawak perlu lebih berhati-hati untuk mengelak daripada dikecam netizen.
“Kalau terfikir lawak lucah, lebih baik jangan lontarkan. Nanti netizen akan cakap pelawak merapu dan kehabisan idea. Jika hendak menggunakan unsur lucah sebagai ‘senjata’ lawak, tidak payahlah,” katanya.

Azlee mengaku tugas pelawak bukannya mudah, namun, soal profesionalisme perlu diambilkira.
“Mungkin lawak kita penonton faham, namun, ada juga audiens yang tafsir dari sudut lain,” katanya.
Bertanya mengenai pengalaman bersama Senario selama lebih dua dekad, Azlee mengaku Senario tidak pernah dilanda kontroversi lawak lucah.
“Senario adalah kumpulan pelawak yang sinonim dengan jenaka spontan. Kami sentiasa mengelak daripada memaparkan lawak berunsur lucah. Semua anggota Senario iaitu saya, Lan, Wahid, Apek dan lain-lain dianggap ‘gila-gila’.
“Tetapi kami tidak sambil lewa menggunakan jenaka lucah untuk menghiburkan penonton,” katanya.
Azlee berkata, jenaka yang dipaparkan Senario tersirat maksud atau mesej tersendiri.
“Contohnya, bahaya lumba haram. Sebagai pelawak, kerja kita bukan menghiburkan sahaja, sebaliknya, menyampaikan mesej berguna,” katanya.
Tambah Azlee, sitkom Senario dan Pi Mai Pi Mai Tang Tu boleh dicontohi pelawak generasi baharu.
“Cuba fikir mengapa Senario dan Pi Mai Pi Mai Tang Tu boleh bertahan lama? Kita tidak mahu hanya disebabkan seorang pelawak, semua artis komedi kena tempias ibarat ‘angkara nila setitik, habis susu sebelanga,” katanya.

Sementara itu, pelawak dan pengacara, Ain Sufia mengaku lawak lucah mudah menggeletek hati penonton, namun, perlu dielak.
“Lawak lucah tidak bagus untuk tontonan umum, apatah lagi audiens bawah umur. Namun, saya mengaku, kadang-kadang pelawak tiada idea dan lawak lucah jadi senjata terakhir untuk membuatkan penonton ketawa.
“Bagi mereka, penonton dapat ketawa sekali pun jadilah. Boleh dikatakan lawak lucah ini digunakan ketika terdesak.
Namun, seelok-eloknya, kita kena elak daripada menggunakan lawak lucah,” katanya.
Anggota kumpulan Awok yang bakatnya dicungkil melalui program Bintang Mencari Bintang di TV3 ini berkata, cabaran pelawak wanita lebih banyak berbanding lelaki.
“Saya pernah dikatakan terlalu gedik di pentas hanya kerana melompat. Jika pelawak lelaki melakukannya, tidak menjadi masalah.
“Perkara ini kurang relevan tetapi itulah cabaran sebagai pelawak wanita. Kami perlu lebih berhati-hati dengan jenaka.
“Kami kena pandai jaga diri. Lagipun kena fikir, kalau bawa lawak lucah, apa kesannya nanti. Kalau kesan positif tidak mengapa, kalau teruk, dikecam bagaimana pula?” katanya.

Pelawak dan pelakon, Joey Daud yang pernah dituduh pelawak lucah, menyangkal artis komedi kini gemar menggunakan unsur lucah dalam jenaka.
Sebaliknya, Joey percaya apa yang dipersembahkan adalah lawak ‘double meaning’ atau membawa maksud lain, bukannya lucah.
“Bagi saya, lucah itu seperti perbuatan melampau yang tidak elok dipertontonkan yang tidak manis saya sebutkan. Lawak yang kami ketengahkan lebih kepada lawak ‘double meaning’, bukannya lucah.
“Apa yang kami sampaikan adalah jenaka biasa yang digunakan orang dewasa apabila melepak di kedai. Maksudnya, perbualan santai antara kawan-kawan. Cuma apa yang membezakannya, kami bawa di pentas,” katanya apa yang dilakukan di pentas adalah sekadar melawak.
Joey sedar ramai peminat melabelkannya sebagai pelawak lucah.
“Saya tahu ramai yang melabelkan saya begitu, namun, saya tidak marah. Saya terima teguran mereka. Apa yang saya boleh perbaiki, saya cuba. Tetapi janganlah kerana sepotong ayat ‘double meaning’, kita dikecam dan terus dilupakan persembahan selebihnya,” katanya.
Joey mengaku kerjaya sebagai pelawak bukanlah mudah.
“Penonton boleh menghakimi, bagaimanapun, hanya mereka yang melakukannya, faham. Kalau orang suka, orang pujilah, kalau orang tidak suka, orang kecam. Orang tidak tahu bagaimana kerja kami.
“Contohnya, seperti kita tidak boleh hendak pastikan peringkat umur penonton dalam menyediakan kandungan.
Seperkara lagi, kadang-kadang kita di pentas kita perlu membuat persembahan mengikut kehendak juri profesional.
“Sudahlah kandungan lawak tidak berunsur politik dan agama, kena pula ikut kehendak juri dan produksi. Secara jujurnya, idea kami perlu melalui banyak sekatan, tapi penonton tidak tahu,” katanya.
Sejak sedekad lalu, dunia komedi mendominasi sektor hiburan impak daripada penganjuran program realiti berunsur jenaka dan kecenderungan penerbit memasukkan elemen lawak dalam kandungan.
Berita Harian



