KUALA LUMPUR, — Bekas Perdana Menteri, Najib Razak, menegaskan beliau akan terus menuntut haknya melalui saluran yang sah dengan penuh kesabaran dan maruah, meskipun berdepan tekanan emosi susulan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang mensabitkannya bersalah dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam satu catatan panjang yang dimuat naik hari ini, Najib menyatakan beliau menulis dengan fikiran yang tenang walaupun mengakui hatinya berat, sambil menggambarkan perjuangan yang dirasakannya seolah-olah dipikul bersendirian. Namun beliau menegaskan tekad untuk meneruskan perjuangan tersebut bukan atas dasar dendam, sebaliknya berlandaskan prinsip serta keyakinan terhadap hak yang diperuntukkan oleh undang-undang dan apa yang telah diperkenankan.
“Apa yang saya tuntut hanyalah hak yang diperuntukkan oleh undang-undang dan apa yang telah diperkenankan. Niat saya tidak pernah berubah: untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Menurut Najib, usaha beliau bukan bertujuan mengelak daripada tanggungjawab, sebaliknya merupakan ikhtiar menegakkan keadilan, menjunjung integriti Perlembagaan serta mempertahankan kedaulatan undang-undang yang dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih. Beliau turut menyatakan keyakinan berterusan terhadap proses kehakiman negara walau apa pun keputusan yang dihadapi.
Sehubungan itu, Najib menyeru seluruh rakyat Malaysia agar kekal tenang, rasional dan berhemah, serta tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam atau menghina proses perundangan. Beliau menegaskan perbezaan pandangan wajar dizahirkan secara matang, tertib dan berlandaskan undang-undang.
“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menilai perkara ini dengan tenang dan rasional bukan semata-mata dari sudut nasib saya sebagai individu, tetapi demi masa depan institusi negara dan prinsip-prinsip yang kita junjung bersama,” katanya lagi.
Terdahulu hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib bersalah atas 25 pertuduhan berkaitan kes 1MDB, melibatkan empat pertuduhan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Bagi pertuduhan salah guna kuasa, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun bagi setiap pertuduhan serta denda keseluruhan berjumlah RM11.38 bilion, dengan hukuman penjara tambahan 10 tahun sekiranya denda gagal dibayar. Sementara itu, bagi setiap pertuduhan pengubahan wang haram, beliau dihukum penjara lima tahun.
Mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara tersebut berjalan secara serentak dan bermula selepas tamat tempoh pemenjaraan Najib bagi kes SRC. Selain itu, beliau turut diperintahkan membayar penalti tambahan berjumlah RM2.08 bilion, atau berdepan hukuman penjara tambahan dua tahun enam bulan sekiranya gagal menjelaskannya.
Keputusan tersebut, menurut Jabatan Peguam Negara, menandakan berakhirnya perbicaraan kes rasuah dan jenayah kewangan terbesar dalam sejarah negara di peringkat Mahkamah Tinggi.



