CYBERJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegaskan bahawa tiada sebarang arahan dikeluarkan kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis daripada parti itu untuk menandatangani sebarang Akuan Berkanun (SD) susulan krisis politik yang melanda negeri berkenaan.
Presiden BERSATU, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin berkata, parti itu hanya menyembah maklum nama calon Menteri Besar Perlis daripada BERSATU selepas menerima titah daripada Istana Perlis untuk berbuat demikian.
Menurut beliau, BERSATU akan mendengar penjelasan daripada ADUN-ADUN BERSATU Negeri Perlis bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung isu yang timbul susulan peletakan jawatan YB Tuan Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis.
“Saya yakin bahawa parti-parti anggota Perikatan Nasional mempunyai kaedah masing-masing untuk menguruskan sebarang isu yang berbangkit dengan berhemah demi menjamin kestabilan dan kelangsungan pentadbiran Perikatan Nasional di Negeri Perlis,” katanya dalam satu kenyataan media yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Muhyiddin turut menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) menghormati sepenuhnya kuasa budi bicara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis, serta menjunjung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis dalam proses pelantikan Menteri Besar.
Dalam kenyataan sama, beliau menyatakan bahawa PN juga menghormati kedudukan PAS sebagai parti yang memimpin pentadbiran Perikatan Nasional di Negeri Perlis.
“Saya berharap isu berhubung kedudukan Menteri Besar Perlis akan dapat diselesaikan dalam semangat keluarga besar Perikatan Nasional,” katanya.
Krisis politik di Perlis tercetus susulan peletakan jawatan Menteri Besar, yang mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai sokongan ADUN dan kedudukan pentadbiran kerajaan negeri.



