TNB untung besar tapi tarif naik 14 peratus, ini tatakelola sangat bagus – Fadhli

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari menganggap pengumuman cadangan kenaikan tarif elektrik bermula 1 Julai 2025 sebagai satu bentuk tatakelola yang sangat bagus.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu sekali gus menamakan kenaikan itu sebagai ‘Tariff Madani’.

“Walaupun untung bersih Tenaga Nasional Berhad (TNB) meningkat ketara, tarif akan tetap naik 14 peratus mulai Julai tahun depan.

“Ini satu bentuk tatakelola yang sangat bagus. Marilah kita namakan ia sebagai Tariff Madani.

“Posting (hantaran) ini tentu tidak akan diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC),” ujarnya.

Untuk rekod, TNB mencatatkan keuntungan bersih RM1.58 bilion, meningkat hampir dua kali dalam suku ketiga tahun kewangan berakhir pada 30 September 2024, daripada RM856.20 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Menurut kenyataan kepada Bursa Malaysia pada 29 Nov 2024, peningkatan itu disumbangkan oleh keuntungan dalam pertukaran asing, jualan tenaga elektrik yang lebih tinggi selain prestasi operasi yang lebih baik.

“Perolehan meningkat kepada RM14.35 bilion pada suku ketiga 2024 daripada RM13.47 bilion sebelum ini, sementara jualan tenaga elektrik meningkat 6.2 peratus atau RM2.37 bilion yang mendorong pertumbuhan pendapatan kumpukan sebanyak 7.5 peratus atau RM2.9 bilion.

“Pertumbuhan permintaan juga meningkat sebanyak 7.6 peratus, terutama daripada sektor komersial dan domestik,” katanya.

TNB berkata, mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) juga dalam kedudukan kurang pulih lebih rendah iaitu RM7.37 bilion berbanding RM8.49 bilion pada tempoh sama tahun lepas berikutan harga bahan api yang lebih rendah.

“Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2024, kumpulan mencatat prestasi yang stabil, disokong oleh peningkatan permintaan, prestasi operasi lebih baik dan pengurusan modal yang cekap.

“Keuntungan bersih TNB melonjak kepada RM3.74 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024 daripada RM2.19 bilion bagi tempoh sama 2023, manakala perolehan menokok kepada RM42.36 bilion daripada RM39.41 bilion sebelumnya,” katanya.

Menyentuh prospek, TNB berkata, seiring jangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 4.8 peratus hingga 5.3 peratus, kumpulan mengunjurkan prestasi yang stabil untuk 2024 dan akan terus melaksanakan strategi perniagaan berhemat untuk mengekalkan daya tahan.

“Kumpulan komited untuk menjadi pemain utama dalam memajukan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR) sambil berusaha mendapatkan pertumbuhan dan nilai mampan untuk pihak berkepentingan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat