KUALA LUMPUR – Seorang pesalah khalwat berulang di Terengganu selesai menjalani hukuman sebatan syariah yang diadakan di hadapan kira-kira 70 orang di dewan Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, pada Jumaat.
Pesalah berkenaan Mohd Affendi Awang, 42, yang juga seorang duda dihukum dengan enam kali sebatan atas kesalahan khalwat berulang.
Hukuman berkenaan dijalankan oleh pegawai Jabatan Penjara Malaysia.
Hukuman sebatan syariah itu menjadikan dia pesalah pertama di negeri itu disebat di hadapan khalayak ramai dengan disaksikan sekitar 70 orang hadirin yang dibenarkan masuk ke dewan tersebut, lapor Malaysiakini di Terengganu.
Bapa kepada lima cahaya mata yang kini dipenjara di Penjara Marang itu tiba di pekarangan masjid pada jam 2.29 petang diiringi warden penjara.
Dia mengenakan seragam penjara berwarna oren dan memakai pelitup muka kelihatan dikawal rapi ketika dibawa masuk ke dewan.
Proses sebatan berjalan lancar dan dia dibawa keluar dari dewan pada jam 3 petang.
Pada 20 Nov lalu, Mohd Affendi muncul sebagai pesalah pertama yang akan dihukum sebat secara terbuka atas kesalahan jenayah syariah di Terengganu.
Hakim kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail, menetapkan hukuman tersebut selepas tertuduh mengaku salah atas dakwaan melakukan khalwat kali ketiga.
Mohd Affendi didakwa mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Dia turut dikenakan denda RM4,000, dan enam bulan penjara selepas gagal menjelaskan denda berkenaan.
Tukang rumah itu pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman.
Dia didakwa kali kedua melakukan kesalahan sama pada 25 Jan lalu dan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman empat sebatan dan denda RM3,000.
Pada awalnya dia dijadualkan menerima hukuman sebatan itu pada 6 Dis lalu, namun dua hari sebelum itu, kerajaan negeri memaklumkan pelaksanaan hukuman digantung sementara susulan terdapat permohonan semakan keputusan.
Sebelum itu media melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Kerajaan Terengganu akan melaksanakan hukuman sebat ke atas pesalah khalwat secara terbuka hari ini, sekali gus menjadi titik permulaan dalam sejarah undang-undang syariah negara.
“Pelaksanaan hukuman sebat akan menjadi titik perubahan dalam sejarah undang-undang syariah negara dan bukan sekadar simbolik, tetapi satu langkah serius bagi mendidik dan memperkasa masyarakat secara berkesan,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata, hukuman itu bukan hanya bertujuan menghukum pesalah, tetapi sebagai langkah mendidik masyarakat selaras dengan prinsip maqasid syariah.
Katanya, pelaksanaan hukuman secara terbuka itu bertujuan memberi pengajaran kepada orang ramai supaya memahami hikmah di sebalik undang-undang syariah.
“Kita mengakui terdapat bantahan daripada pelbagai pihak, tetapi kerajaan negeri tetap komited untuk melaksanakan hukuman ini.
“Walaupun terdapat kritikan, kami percaya hukuman akan dilaksanakan ada langkah tepat untuk memperkasa undang-undang syariah, yang selama ini hanya dilaksanakan di penjara,” katanya.