KUALA LUMPUR – Cuma 12 jam berada di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terbang pulang ke tanah air malah sebelum Perdana Menteri, Dtauk Seri Ismail Sabri Yaakob mengeluarkan arahan agar menteri membatalkan percutian di saat negara dilanda musibah banjir.

Hal ini kerana sejak negara berdepan bencana banjir 18 Disember lalu timbul pelbagai dakwaan terutama melibatkan keberadaan Menteri Kabinet yang mengetepikan nasib rakyat semata-mata untuk pergi bercuti.

Salah seorang menteri Kabinet yang menerima tempias dakwaan berkenaan adalah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dikatakan berada di Dubai.

Memetik UtusanTV menerusi panggilan video, Ahmad Faizal menjelaskan yang beliau sebenarnya berada di Malaysia.

Berdasarkan panggilan video tersebut, beliau sedang menjalani kuarantin kendiri di sekitar ibu negara.

Bagaimanapun, beliau mengakui memohon cuti untuk ke Dubai selepas hampir dua tahun tidak bertemu dengan dua orang anaknya yang berada di United Kingdom (UK).

Beliau menjelaskan membuat keputusan untuk bertemu keluarganya di Dubai memandangkan kes Omicron yang tinggi di UK.

“Memang saya ada mohon cuti dan bila diluluskan, saya ke Dubai pada hari Rabu lalu untuk bertemu anak-anak.

“Namun begitu, melihatkan kepada keadaan banjir yang melanda negara, hati saya jadi tak tenteram.

“Jadi, saya buat keputusan untuk beli tiket pulang hanya selepas kira-kira 12 jam berada di sana. Saya sempat duduk berbual seketika dengan anak-anak sebelum berlepas pulang pada pukul 8 pagi Khamis, sebelum arahan pulang dibuat Perdana Menteri,” katanya memetik portal itu.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun bagaimanapun memahami kekecewaan dan penderitaan ditanggung rakyat.

“Saya tahu saya penjawat awam, saya sedar kepentingan rakyat lebih didahulukan. Itu pengorbanan yang perlu dibuat.

“Saya minta maaf, saya mengaku ada banyak kelemahan. Walaupun saya menteri dan tidak sempurna tetapi tidak sampai tahap mahu menyisihkan rakyat.

“Saya faham semua penderitaan kerana saya juga pernah berada dalam situasi sukar. Tiada kerja dan sebagainya,” katanya.

Ahmad Faizal juga memaklumkan telah mengadakan mesyuarat secara maya sebaik tiba di tanah air, bagi menggerakkan sukarelawan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membantu mangsa pasca banjir.

Malah, katanya, KBS turut menawarkan fasiliti termasuk pusat latihan Majlis Sukan Negara (MSN) sekiranya perlu digunakan untuk dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

“Saya telah koordinasikan pergerakan sebab ada sukarelawan KBS di negeri-negeri yang tidak terkesan mahu datang membantu.

“Saya juga dah minta untuk melaksanakan rentas kementerian sama ada dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” jelas beliau.