Tak ambil serius mesej ‘Hijau’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tiga dekad melaungkan mesej alam sekitar melalui lagu popular Hijau, Datuk Zainal Abidin kecewa pesanan disampaikan dalam dendangan itu sekadar hiburan semata-mata, bukannya sesuatu yang diambil serius dalam menjaga kelestarian alam.

Terbukti kebimbangan yang dizahirkan menerusi lagu ciptaan Mukhlis Noor terhadap kepesatan pembangunan hingga mengancam persekitaran, menjadi kenyataan dengan bencana banjir melanda negara, baru-baru ini.

Apatah lagi, impak buruk terhadap alam sekitar dirasai Zainal apabila bah menenggelamkan kediamannya yang terletak berhampiran Taman Sri Muda, Shah Alam.

“Sudah 30 tahun saya menyampaikan mesej dalam lagu Hijau… Masuk sekolah, universiti dan jabatan kerajaan. Tetapi mereka hanya anggap lagu itu sekadar hiburan, bukannya pesanan.

Kediaman Zainal di lokasi berhampiran Taman Sri Muda, Shah Alam turut dinaiki air. Foto IG Zainal Abidin
Kediaman Zainal di lokasi berhampiran Taman Sri Muda, Shah Alam turut dinaiki air. Foto IG Zainal Abidin

 

“Jika mereka ambil iktibar daripada mesej alam sekitar yang saya sampaikan dalam lagu itu, mungkin bencana alam yang berlaku, baru-baru ini, tidak terjadi.

“Inilah yang kita dapat apabila kita tidak membuang sampah dengan betul, suka-suka buat bangunan tanpa perancangan, bina menara tinggi tanpa teliti sistem perparitan dan pembalakan haram yang berleluasa,” katanya yang berpendapat rakyat tidak harus dipersalahkan dalam bencana banjir di beberapa kawasan di Selangor, minggu lalu.

 

Foto dikongsi Zainal menunjukkan kawasan kediamannya yang dinaiki air, minggu lalu. Foto IG Zainal Abidin
Foto dikongsi Zainal menunjukkan kawasan kediamannya yang dinaiki air, minggu lalu. Foto IG Zainal Abidin

 

Meraikan ulang tahun ke-30 lagu Hijau dengan cara tersendiri bersama peminat, Zainal tidak pernah mengharapkan pengiktirafan kerajaan atas usaha menghasilkan lagu malar segar itu.

Bagaimanapun, Hijau diangkat lagu rakyat oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

“Saya sedar, bidang seni adalah pilihan terakhir dan tidak pernah dianggap membawa apa-apa pulangan kepada negara.

“Sedangkan industri hiburan adalah suatu medium yang paling berkesan untuk menyampaikan mesej dan pesanan kepada masyarakat.

“Kita boleh lihat bagaimana Korea Selatan menggunakan hiburan untuk mempopularkan negara mereka. Populariti K-pop menyumbang lebih 30 peratus kepada pendapatan negara, begitu juga India.

“Bagaimanapun, saya tidak mengharapkan pengiktirafan. Cukuplah saya raikan bersama peminat dan mereka yang tahu menilai keistimewaan Hijau,” katanya.

Pada insiden banjir besar yang kali pertama berlaku di kawasan kediamannya, Sabtu lalu, aras bawah rumah tiga tingkat didiami penyanyi itu bersama isteri dan dua anaknya sejak lapan tahun lalu, ditenggelami air.

Beberapa kenderaan milik penyanyi berusia 62 tahun itu juga tidak dapat diselamatkan.

Masih fobia dengan apa yang berlaku, Zainal mengaku sukar melupakan jeritan meminta tolong penduduk berhampiran pada hari kejadian.

“Ini kali pertama kami berdepan banjir. Sebelum ini, air bertakung di jalan utama sahaja. Tetapi, kali ini, air naik dengan cepat hingga memasuki rumah kami.

“Kami sekeluarga sukar melelapkan mata kerana kepanasan akibat bekalan elektrik yang terputus selama tiga hari. Pada masa sama, kami masih fobia dengan apa yang berlaku.

“Saya tidak boleh lupa penduduk berhampiran menjerit meminta tolong. Mereka tinggal di kediaman jenis setingkat, jadi rumah mereka habis ditenggelami air hingga terpaksa menyelamatkan diri atas bumbung.

“Saya terkilan tidak dapat membantu dengan keadaan kediaman sendiri yang tenggelam. Lagipun paras air tinggi dan deras, kami tidak mampu untuk berbuat apa-apa,” katanya.

Zainal berkata, biarpun ada antara harta bendanya rosak termasuk beberapa kenderaan ditenggelami air, dia bersyukur isteri dan anak selamat.

“Banyak kerosakan dialami termasuk beberapa kenderaan milik saya habis ditenggelami air. Tetapi saya reda dengan apa yang berlaku.

“Air naik dengan cepat sehingga kami hanya sempat menyelamatkan barang-barang kecil sahaja.

“Mujur ada isteri dan anak bujang, merekalah yang banyak bertungkus-lumus menyelamatkan apa yang patut. Semua barang dipindahkan ke aras dua dan tiga kediaman kami.

“Saya membantu apa yang termampu, saya pun bukan muda lagi.

“Saya anggap musibah yang menimpa sebagai suatu teguran daripada Allah, tanda dia sayang pada kita. Memang saya reda tetapi sedikit sebanyak rasa sedih tetap ada.

“Namun, apa yang penting anak dan isteri selamat,” katanya.

Zainal beruntung kerana adik-beradik, ipar-duai, sanak-saudara dan sahabat-handai sangat prihatin dengan kejadian yang menimpa mereka sekeluarga.

Zainal amat berterima kasih kepada Adibah Noor yang hampir setiap hari datang menjenguk dan menghantar makanan kepada mereka.

“Saya amat berterima kasih kepada Adibah yang sangat mengambil berat keadaan kami. Sejak air surut, boleh dikatakan hampir setiap hari dia datang menghantar makanan.

“Saya juga amat berterima kasih kepada adik-beradik, ipar-duai dan sahabat lain kerana sering bertanya khabar dan menghulurkan pelbagai bantuan termasuk meminjamkan kenderaan serta tenaga membantu kami membersihkan rumah,” katanya..

Zainal turut berterima kasih kepada pihak berwajib kerana menjalankan tanggungjawab sebaiknya.

Ketika ini, Zainal berkata, rakyat tidak seharusnya menuding jari menyalahkan orang lain. Zainal yakin kerajaan berusaha untuk membantu setiap mangsa banjir.

Namun, dengan jumlah mangsa yang terlalu ramai, tentulah mengambil masa untuk bantuan sampai kepada semua pihak.

“Saya fikir kita perlu berhenti menuding jari dan mencari kesalahan orang. Mereka kena faham, banyak tempat yang dinaiki air, dan bukan semua jabatan kerajaan ada bot.

“Kerajaan sudah tentu mahu bantu semua orang. Namun, dengan laluan yang ditutup dan keadaan yang merbahaya, mungkin mengambil sedikit masa.

“Jadi, saya nasihatkan semua supaya bersabar. Dalam keadaan sekarang, kita janganlah hanya mengharapkan bantuan kerajaan. Sebaliknya, ini masanya untuk rakyat tolong rakyat,” katanya.

Single Hijau dilancarkan pada 30 Mei 1991 sebagai single pertama daripada album solo sulung Zainal yang menggunakan namanya sebagai judul.

Lagu ini menampilkan loghat Kelantan dalam lirik yang ketika itu dianggap unik dalam arus perdana muzik tempatan.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat