Fly By Night filem jiwa Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31, filem Fly By Night memaparkan dialog bahasa Mandarin dan Kantonis garapan Zahir Omar, memberi saingan hebat kepada Roh yang diangkat Filem Terbaik pada acara berprestij itu.

Buktinya, selain trofi Pengarah Harapan yang dianugerahkan kepada Zahir, Fly By Night mengungguli kategori Sinematografi Terbaik dimenangi Low Soon Keong dan Penyunting Terbaik (Heng Ying Chau).

Bertanyakan Zahir mengenai persaingan filem garapannya dan Roh, sutradara ini sebaliknya menganggap kedua-dua karya terbabit punya tarikan sendiri dan tidak perlu dibandingkan.

“Saya bangga karya bersaing rapat dengan Roh. Filem itu dihasilkan sahabat saya, Emir Ezwan di mana kami pernah bekerja di syarikat sama, Planet Films.

“Dalam aspek sinematografi hingga lakonan, saya fikir kami setaraf. Cuma bezanya, karya saya dalam bahasa Cina.

Filem Fly By Night meraih tiga trofi FFM31 termasuk Pengarah Harapan kepada sutradara Zahir Omar. Foto IG Fly By Night
Filem Fly By Night meraih tiga trofi FFM31 termasuk Pengarah Harapan kepada sutradara Zahir Omar. Foto IG Fly By Night

 

“Bagi saya, tidak boleh membandingkan karya kami kerana Roh adalah filem ‘cantik’, sama juga Fly By Night,” katanya kepada BH Online.

Zahir bangga Fly By Night yang bergenre ‘thriller’ jenayah diterima baik juri tempatan dan antarabangsa.

Buktinya, naskhah terbitan Planet Films menampilkan lakonan Sunny Pang, Bront Palarae, Fabian Loo dan Jack Tan itu dipilih antara enam filem yang menerima Dana Pasca Penerbitan daripada Asian Cinema Fund (ACF) pada Pesta Filem Antarabangsa Busan Ke-23.

Fly By Night juga mendapat ulasan positif apabila ditayangkan di festival filem di Macau, China; Udine, Italy serta New York dan Santa Barbara, Amerika Syarikat (AS).

Filem ini juga terpilih untuk ditayangkan pada International Film Festival & Awards Macao (IFFAM) dan Pesta Filem Asia Jogja-NETPAC.

Zahir tidak menyangka filem yang memaparkan kehidupan empat pemandu teksi berlainan karakter, namun, bersatu hati, mampu meraih kejayaan.

“Apabila saya bikin filem ini, saya hanya fikir buat filem yang bagus sahaja. Niatnya tulus untuk menceritakan kisah sebenar yang menarik. Inspirasi filem ini adalah daripada kisah di sekeliling saya.

“Bagi saya, untuk menghasilkan filem yang berjaya, apa yang penting adalah niat dan jangan takut dalam menyampaikan kisah.

“Berani kerana benar. Kalau kita buat sesuatu, lakukan dengan rasa cinta serta usah putus asa,” katanya.

Zahir berkata, penonton sekarang boleh menerima genre fiem berbeza.

“Kita sebagai pembikin filem kena bertanggungjawab menghidangkan pelbagai jenis atau variasi filem.

“Kita juga boleh menjayakan naskhah yang mencampurkan aktor dan kru pelbagai bangsa. Selalunya, industri kita hanya cenderung kepada satu bangsa sahaja dalam penerbitan.

“Seperti saya, pengarah Melayu yang rakam filem bahasa Cina. Ini menunjukkan filem Malaysia boleh dibintangi pelakon Malaysia dan tidak hanya bergantung kepada satu bangsa sahaja.

“Jadi, penonton boleh berhibur dan memilih. Saya harapkan perniagaan dan ekosistem industri perfileman kita dapat berkembang dengan sihat,” katanya.

Ditanya bagaimana boleh mengarahkan filem menggunakan bahasa Cina sebagai pengantar utama, Zahir berkata, dia meletakkan kepercayaan kepada pelakon bagi menyampaikan emosi yang baik.

“Saya tidak boleh bertutur dalam Bahasa Cina. Saya tulis filem ini dalam Bahasa Inggeris dan diterjemahkan kepada bahasa Cina.

“Sebelum ini, saya anjurkan bengkel bersama pelakon. Bagi saya, tidak kisahlah bahasa apa sekali pun, soal emosi, semuanya sama sahaja.

“Walaupun saya tidak faham bahasa Cina, saya dapat mengerti emosi disampaikan,” katanya.

Mengenai projek terbaru, Zahir akan berangkat ke Indonesia bagi menghasilkan sebuah filem pada 2022. Pada 2023, Zahir merancang memulakan penggambaran filem The River Runs Red, iaitu filem epik berkisar kehidupan pendekar yang dibintangi Bront sebagai teraju utama.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat