Pendakwaraya gagal kemukakan dokumen, Hakim lepaskan Najib dan Irwan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat penghakiman lepas tanpa dibebaskan (DNAA) ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dari enam pertuduhan pecah amanah (CBT) membabitkan RM6.6 bilion.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Najib dan Mohd Irwan melalui permohonan notis usul difailkan kedua-dua tertuduh hari ini setelah pejabat Peguam Negara gagal menyerahkan dokumen yang menjadi elemen pertuduhan.

Muhammad Jamil berkata kegagalan pihak pendakwaan menyerahkan beberapa dokumen sulit yang penting kepada kedua-dua tertuduh untuk persediaan pembelaan mereka telah menyebabkan kecacatan dalam pertuduhan. 

Beliau menegaskan pihak pendakwaan gagal  mematuhi kehendak Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah yang memerlukan pendakwaan mendedahkan maklumat dan dokumen yang ingin dikemukakan dalam kes terhadap orang yang dituduh, sebelum perbicaraan dimulakan.

Pendakwaan kes ini bermula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 25 Okt 2018 sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun Hakim menyatakan pihak pendakwa bebas mendakwa semula kedua-dua tertuduh pada masa hadapan.

Keputusan ini dibuat berikutan permohonan Najib Dan Irwan untuk mendapatkan DNAA Julai lalu dan Isnin lepas Hakim mendengar hujah kedua-dua pihak.

Pejabat Peguam Negara memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa mereka tidak mempunyai kawalan terhadap dokumen sulit yang akan dinyahklasifikasi sebelum digunakan dalam perbicaraan kes pecah amanah dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi berkata, ia melibatkan dokumen mesyuarat Kabinet, Kementerian Kewangan, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (kini Agensi Pengangkutan Awam Darat) di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan.

“Bagi Kementerian Kewangan dan Petra, dokumen masih dalam proses diturun taraf manakala bagi SPAD, memandangkan suruhanjaya itu telah dibubarkan, kami dimaklumkan dokumen kini tiada lagi dalam simpanan mereka.

“Proses turun taraf dokumen berstatus rahsia dan sulit bukanlah di bawah kawalan pihak pendakwaan dan ia tertakluk kepada agensi terlibat yang memiliki dokumen berkenaan sama ada boleh diturun taraf atau sebaliknya,” kata Muhammad Saifuddin.

Muhammad Shafee mempersoalkan mengapa bekas Perdana Menteri dan menteri kewangan itu masih didakwa sedangkan dokumen yang akan digunakan dalam perbicaraan belum siap.

“Mengapa dakwa anak guam saya sedangkan (pendakwaan) tidak bersedia? Beliau sudah dibebani dengan (begitu banyak kes lain),” kata peguam itu.

Sementara itu, peguam Datuk Seri K.Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan memohon anak guamnya dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) kerana kes sudah berjalan selama enam tahun sejak ia pertama kali disebut di mahkamah.

Bagaimanapun, Kumaraendran berkata, pendakwaan masih gagal menyerahkan semua dokumen yang dimohon pembelaan malah ada dokumen yang sehingga kini tidak diserahkan kepada pihaknya bagi menyediakan pembelaan.

“Yang Arif menetapkan tarikh perbicaraan tetapi kami tidak dapat meneruskan kerana kebanyakan dokumen penting tidak diberikan kepada kami dan mahkamah tidak dapat menjalankan perbicaraan adil.

“Malah, ada dokumen yang tidak ada dalam milikan pendakwaan, bagaimana mereka hendak meneruskan kes? Ini adalah kali ketiga kami memohon DNAA kerana mahkamah memberi masa yang mencukupi untuk pendakwaan. Oleh itu, saya memohon mahkamah memberikan anak guam saya perintah DNAA,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak Hakim Muhammad Jamil Hussin kemudian menetapkan pada 27 November ini untuk mendengar hujahan lanjut kesemua pihak.

Perbicaraan yang sepatutnya bermula pada September 2021 telah tertangguh beberapa kali antaranya bagi memberi laluan kepada dua kes iaitu kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.

Kali terakhir perbicaraan ditangguhkan ada pada Jun lalu yang mana ia disebabkan beberapa dokumen penting dirujuk oleh saksi-saksi masih belum diserahkan oleh pendakwaan kepada pembelaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat