KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bertekad memastikan aspek tadbir urus dan tatakelola MARA berada pada tahap tertinggi agar insiden 2013 dan 2014 tidak berulang lagi.
Insiden yang dimaksudkan beliau berkait laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati MARA Inc melakukan pembelian hartanah terlebih nilai di London, United Kingdom (UK) dan Melbourne, Australia masing-masing pada 2013 serta 2014.
“Insya-Allah saya bertekad dan berazam untuk pastikan aspek tadbir urus dan tatakelola MARA berada pada tahap tertinggi agar insiden 2013-2014 tidak berulang lagi.
“Setiap sen yang diamanahkan kepada MARA wajib dibelanjakan dan diuruskan dengan baik, telus, tidak boros, tidak membazir, tidak tiris dan tidak diseleweng.
“Ini memerlukan tadbir urus yang kemas dan tatakelola yang ketat. Akhirnya, setiap warga MARA termasuk saya yang paling tertinggi bukan sahaja akan dipertanggungjawabkan di dunia tetapi yang harus ditakuti adalah pertanggungjawaban di hadapan Allah dengan hukuman yang amat dasyat di akhirat kelak,” ujar Asyraf di Facebooknya pada Rabu.
Beliau malah memberi keyakinan bahawa MARA kini diurus tadbir dengan ketat.
“Insya-Allah komitmen ahli Majlis MARA kali ini yang turut dianggotai oleh bekas Gabenor Bank Negara yang punya pengalaman panjang mengurus dan mentadbir institusi kewangan dan sistem kewangan negara yang sememangnya terkenal punya tahap tadbir-urus paling ketat, pastinya banyak dapat membantu memperkemaskan lagi sistem tadbir urus di MARA,” ikrar Asyraf lagi.
Semalam, Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, transaksi membabitkan pembelian Dudley International House di 51 Queen Street dan 333 Exhibition Street di Melbourne, diikuti Beaumont House di London itu tidak diluluskan Kementerian Kewangan (MOF).
Bagaimanapun beliau berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) didapati merayu dan perkara itu dibawa kepada Majlis Ekonomi yang kemudiannya memberi kelulusan pada 2013.
Perkara berkenaan antara penemuan PAC yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Juga Mas Ermieyati memaklumkan kes pembelian hartanah terlebih nilai di Melbourne, Australia sudah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kini masih dalam perbicaraan di mahkamah.
“Bagi memastikan perkara ini tidak lagi berlaku, PAC mengesyorkan KKDW, Majlis Amanah Rakyat (MARA), MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) dan MARA Inc perlu memastikan cadangan pelaburan sama ada dalam dan luar negara termasuk pemerolehan aset yang bernilai tinggi seperti hartanah mematuhi dasar terkini Kerajaan dengan keutamaan dalam pelaburan domestik.
“Cadangan berkenaan perlu mendapat kelulusan MOF terlebih dahulu dan keputusan MOF perlu dipatuhi bagi mengelakkan skandal pembelian hartanah tidakberulang,” katanya.
Penemuan dan syor PAC berhubung Pengurusan MARA Inc adalah hasil daripada tiga prosiding yang diadakan pada 30 dan 31 Julai lalu, selain 19 September lalu.