Tiket tayangan Khas “Rangga & Cinta” laris dalam masa 12 Jam, fenomena nostalgia kembali menguasai panggung

Fenomena cinta layar perak yang pernah menggema hampir dua dekad lalu kini kembali menguasai emosi penonton. Tayangan khas “Rangga & Cinta” di TGV KLCC mencetuskan kehangatan luar biasa apabila tiket habis terjual dalam tempoh hanya 12 jam setelah dibuka kepada umum. Fenomena ini jelas memberi isyarat bahawa kisah Rangga dan Cinta bukan sekadar sebuah cerita romantik, tetapi memori mendalam yang kekal tertanam dalam jiwa penonton yang pernah membesar dengannya.

Melihat kepada sambutan yang melangkaui jangkaan, pihak penganjur bersama TGV Cinemas segera mengambil langkah proaktif dengan menambah dua dewan tayangan tambahan. Langkah ini bukan sahaja bagi memenuhi permintaan yang meningkat, tetapi juga sebagai penghormatan kepada para peminat yang telah sabar menantikan kemunculan semula kisah yang pernah menjadi lambang cinta anak muda era awal 2000-an.

Penambahan tersebut membuka ruang kepada lebih ramai penonton untuk terlibat dalam detik istimewa ini, sekaligus menjadikan tayangan khas ini sebagai salah satu acara filem yang paling dinantikan tahun ini.

Apa yang menjadikan tayangan ini lebih istimewa adalah kehadiran barisan kreatif di sebalik pembikinan filem tersebut. Pengarah tersohor Riri Riza dan penerbit berpengaruh Mira Lesmana tampil berkongsi rasa dan pengalaman mereka sepanjang menghidupkan kembali legasi naratif ini.

Turut hadir ialah Nicholas Saputra, aktor yang tidak dapat dipisahkan daripada watak Rangga, simbol kepada sosok lelaki penuh emosi yang mengekalkan misterinya dalam diam. Dua wajah baharu, Leya Princy dan El Putra Sarira, pula tampil membawa semangat baharu kepada karya ini, memperkenalkan dimensi segar yang dijangka menarik perhatian generasi penonton masa kini.

Di media sosial, gelombang keterujaan dan nostalgia dapat dilihat dengan jelas. Ruang komen dibanjiri luahan rasa kecewa daripada peminat yang tidak sempat merebut tiket, selain seruan berterusan agar lebih banyak tayangan tambahan dibuka. Ada yang menyatakan mereka telah menunggu bertahun-tahun untuk melihat kembalinya kisah ini ke layar perak, dan ada juga penonton generasi baharu yang teruja untuk menyaksikan sendiri karya yang sering diperkatakan sebagai lambang cinta remaja penuh kejujuran dan keremajaan.

Sambutan luar biasa ini membuktikan bahawa Rangga dan Cinta bukan hanya watak fiksyen, tetapi ikon budaya pop yang menyentuh hati pelbagai lapisan penonton. Kisah ini mewakili memori, pengharapan, dan detik-detik kecil kehidupan yang membentuk siapa kita hari ini. Ia mengangkat makna cinta sebagai perjalanan yang tidak selalu mudah, namun penuh keindahan yang halus dan bersahaja.

Filem “Rangga & Cinta” bakal ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 6 November 2025. Diperkaya dengan gabungan puisi, sinematografi penuh emosi dan sentuhan muzik ikonik ciptaan Melly Goeslaw, karya ini dijangka menjadi wadah nostalgia yang mampu mengembalikan penonton kepada rasa cinta yang pernah mekar pada satu ketika dulu.

Tiket kini boleh didapati melalui laman web rasmi TGV Cinemas dan aplikasi mudah alih mereka. Tempat adalah terhad dan dijangka terus menjadi rebutan. Peminat disarankan untuk mendapatkan tiket lebih awal agar tidak terlepas peluang menjadi sebahagian daripada fenomena cinta agung yang kembali mekar ini. Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat