Jentera BN Jangan Abai Lima Juta Pengundi Baharu, Tingkatkan Libat Urus – PM

- Advertisement -

BERA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) supaya tidak mengabaikan kuasa mengundi hampir lima juta pemilih baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri berkata, kebanyakan daripada mereka terdiri daripada pengundi tidak berparti dan kumpulan pengundi muda, justeru libat urus bersama mereka perlu dipertingkatkan supaya mereka menyokong BN.

Bercakap di hadapan kira-kira 6,000 penyokong BN, di sini, semalam, Naib Presiden UMNO itu menyifatkan, undi kumpulan itu sebagai amat penting dan tanpa sokongan mereka, sukar untuk BN menguasai kerajaan semula.

“Sebab itu, saya harap kita semua sama-sama bekerja kuat bukan sahaja untuk mendapatkan pengundi putih supaya terus kekal bersama kita, tetapi juga mendapatkan sokongan daripada mereka yang atas pagar dan tidak berparti supaya menyokong kita.

“Insya-Allah, kalau mereka sokong kita, pengundi putih kita kekalkan untuk terus sokong kita, Insya-Allah DUN (Dewan Undangan Negeri) yang kita pertandingkan, Parlimen yang kita pertandingkan, pasti akan dikuasai kita, BN,” katanya.

Penyandang kerusi Parlimen Bera itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Solidariti, Kestabilan dan Kemakmuran bersama Perdana Menteri Peringkat Pahang dan pelancaran jentera BN Pahang.

Turut hadir, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Selain itu, Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi; Ketua Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ismail Sabri turut memberi peringatan kepada jentera dan mereka yang bakal bertanding atas tiket BN untuk mempelajari pengajaran daripada PRU14, bahawa tidak ada parti yang boleh memberi jaminan kemenangan besar bagi menguasai kerajaan.

“Kita sudah belajar daripada PRU14, tiada parti yang boleh memberi jaminan boleh menang (bentuk kerajaan), kita kena kerja kuat. Tuan-tuan, puan-puan kena kerja kuat untuk memastikan bukan sahaja Pahang dikekalkan dengan kerusi yang lebih besar, kalau boleh dua pertiga kerusi Pahang ini kita kuasai, begitu juga dengan Parlimen,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat