KUALA LUMPUR, – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mengenakan denda berat ke atas badan induk bola sepak negara serta menggantung tujuh pemain warisan.
FIFA sebelum ini dalam kenyataan rasmi memaklumkan FAM dikenakan denda sebanyak CHF 350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala tujuh pemain berkenaan pula digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan selain didenda CHF 2,000 (RM10,600) setiap seorang.
Hukuman itu berpunca daripada dakwaan pemalsuan dokumen dalam proses kelayakan pemain yang diturunkan ketika aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
Antara yang terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Jon Irazábal Iraurgui, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Kesemua mereka dilahirkan di luar negara dan beraksi dalam kemenangan 4-0 Malaysia ke atas Vietnam pada aksi kelayakan tersebut.
Menurut FIFA, para pemain terbabit telah melanggar peraturan berkaitan pemalsuan dokumen. Badan induk itu menegaskan FAM dalam proses membuat pertanyaan kelayakan kepada FIFA telah menggunakan dokumen yang diubah suai bagi membolehkan pemain berkenaan diturunkan. Kes ini turut dirujuk kepada Tribunal Bola Sepak FIFA untuk penilaian lanjut status kelayakan mereka.
Bagaimanapun, Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, menegaskan pihaknya bersama para pemain terlibat sentiasa bertindak dengan penuh niat baik dan telus sepanjang proses itu. Menurutnya, FIFA sendiri sebelum ini pernah meneliti kelayakan pemain berkenaan dan memberikan pengesahan rasmi bahawa mereka layak beraksi untuk skuad kebangsaan.
“FAM akan menggunakan semua saluran serta prosedur perundangan yang ada bagi memastikan kepentingan para pemain serta pasukan kebangsaan Malaysia sentiasa terpelihara. Kami kekal komited mematuhi peraturan antarabangsa serta mempertahankan integriti bola sepak negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
FAM juga memberi jaminan akan bekerjasama dengan kerajaan dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan proses rayuan dijalankan secara telus, adil dan berlandaskan semangat kesukanan. Sebarang perkembangan lanjut mengenai rayuan itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Suara.TV



