KUALA LUMPUR, 26 SEPTEMBER 2024 – Dunia kopi di Kuala Lumpur semakin berwarna dengan kehadiran terbaru Illy Caffè di Nu Sentral. Bukan sekadar kafe biasa, Illy Caffè kali ini membawa satu daya tarikan istimewa yang menggabungkan tradisi kopi Itali dengan hidangan istimewa dari Rom yang jarang ditemui di Malaysia – Maritozzi.
Apa yang menarik di pembukaan kali ini? Selain menikmati kehangatan secawan kopi premium Illy, pengunjung bakal disajikan dengan Maritozzi yang mempunyai pelbagai variasi rasa, baik yang manis mahupun savory. Kolaborasi eksklusif dengan chef selebriti terkenal Anis Nabilah menjadikan acara ini lebih istimewa, dengan beliau memperkenalkan variasi Maritozzi yang sesuai untuk pelbagai cita rasa. Dari hidangan savory seperti “Smoked Salmon with Mascarpone” hingga manisnya “Tiramisu Maritozzo,” setiap gigitan pasti mencipta pengalaman yang sukar dilupakan.
Anis Nabilah, yang selalu dikaitkan dengan hidangan menarik dan inovatif, teruja dengan pengenalan Maritozzi kepada pelanggan Malaysia. “Maritozzi bukan sekadar roti biasa, tetapi ia adalah delicacy Itali yang membawa sejarah panjang. Dengan 6 rasa savory dan 4 rasa manis, kami yakin rakyat Malaysia akan menyukainya,” kata Anis dengan penuh keyakinan.
Kehadiran Anis bersama DJ ALVN pada majlis pembukaan tersebut tidak hanya merancakkan suasana tetapi juga menambah elemen hiburan kepada pengalaman kopi. Para peminat kopi bukan sahaja dapat menikmati hidangan baru, tetapi juga menikmati irama muzik yang menggembirakan, menjadikan kafe ini lebih dari sekadar tempat untuk minum kopi.
Illy Caffè di Nu Sentral menampilkan reka bentuk dalaman yang elegan dan moden, mencerminkan citarasa Itali yang kaya dengan seni dan budaya. Ia direka dengan sentuhan Itali yang hangat, menyediakan tempat yang sesuai untuk bekerja, bergaul atau berehat sambil menikmati kopi premium. Yang lebih menarik, kafe ini turut menyediakan banyak titik pengecas untuk peranti elektronik, menjadikannya lokasi pilihan utama bagi mereka yang sentiasa bergerak.
Dengan kemunculan Università del Caffè (UDC) di Malaysia, Illy tidak hanya berfungsi sebagai kafe tetapi juga pusat pembelajaran bagi peminat kopi. UDC menawarkan kursus yang merangkumi asas penyediaan kopi, kemahiran barista, hingga pengetahuan tentang bagaimana biji kopi berkualiti dihasilkan. Inisiatif ini menunjukkan dedikasi Illy untuk mendidik peminat kopi sambil memberi sokongan kepada petani kopi di seluruh dunia.
Filippo Migliuolo, wakil dari Illy Caffè, turut berkongsi keterujaannya, “Pembukaan ini adalah lebih daripada sekadar kafe baharu. Kami ingin pelanggan merasakan keunikan kopi Itali sambil menikmati delicacy seperti Maritozzi. Ini adalah pengalaman yang menyeluruh, di mana kopi dan hidangan manis bersatu mencipta momen yang tidak terlupakan.”
Jadi, bagi penggemar kopi yang mahukan lebih daripada sekadar secawan kopi biasa, Illy Caffè di Nu Sentral adalah destinasi baru yang harus dikunjungi. Sama ada anda seorang peminat kopi, pencinta makanan, atau sekadar ingin menikmati suasana yang nyaman, Illy Caffè menjanjikan pengalaman yang luar biasa.
Jangan lepaskan peluang untuk mencuba Maritozzi dengan rasa yang unik sambil menikmati secawan kopi yang diadun sempurna. Pengalaman kopi yang berkelas kini lebih dekat dengan anda di tengah-tengah Kuala Lumpur.