KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein mengucapkan syukur kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus meletakkan keselamatan dan kedaulatan sebagai bidang keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Ujar Hishammuddin melalui catatan Facebook, ianya selari dengan teras-teras utama Kementerian Pertahanan Malaysia.
Keselamatan rakyat dan kedaulatan negara merupakan perkara asas bagi memastikan keamanan dan kestabilan Malaysia. Antara inisiatif yang akan dilaksana merangkumi langkah menambah baik kesiapsiagaan, kawalan sempadan dan penguatkuasaan, mempertingkat ketenteraman awam, mengukuhkan keselamatan dan pertahanan siber serta menjaga kebajikan anggota
“Alhamdulillah, #RMK12 yang dibentangkan YAB Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tadi terus meletakkan keselamatan dan kedaulatan sebagai bidang keutamaan serta selari dengan teras-teras utama Kementerian Pertahanan Malaysia. Antaranya :
- Memperketat kawalan sempadan darat, maritim dan udara. Ia termasuk menambah pos keselamatan termasuk di Sabah dan Sarawak serta membina Bare Base Tentera Udara di Bintulu.
- Menambah baik dasar operasi penguatkuasaan, kawalan sempadan dan pengurusan PATI. Ia termasuklah memperkukuh Operasi BENTENG.
- Memperkukuh aspek perisikan, pengawasan, perolehan sasaran dan peninjauan serta menambah baik kuasa tembakan dan mobiliti. Kem baharu di Felda Sahabat dan Kem 5 Briged di Kota Belud juga akan siap dibina dalam tempoh RMKe-12.
- Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara akan diperkenal bagi menetapkan hala tuju industri tempatan berkaitan pertahanan dan keselamatan.
- Meneruskan usaha membela kebajikan anggota ATM. Antaranya, 10,200 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera sedang dibina dan boleh diduduki dalam tempoh RMKe-12.
- Menambahbaik program penjagaan kesihatan bagi anggota ATM. Ia termasuk membina Hospital Angkatan Tentera Terendak, Melaka.
- Mempergiat diplomasi pertahanan melalui kerjasama dua hala dan pelbagai hala.
InsyaAllah, MINDEF akan usahakan demi memastikan segala perancangan di bawah #RMK12 dapat dilaksanakan sebaiknya .
Terdahulu, ketika membentangkan RMK-12 untuk memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam, Perdana Menteri berkata, antara projek yang akan dilaksanakan termasuk Marine Police Sea Monitoring System di lima wilayah maritim, pembinaan Bare Base Tentera Udara Bintulu, Sarawak, pembinaan Hospital Angkatan Tentera Terendak, Melaka dan peningkatan keupayaan aset maritim.
Selain itu, kem tentera baharu di Felda Sahabat, Kem 5 Briged di Kota Belud dan kem Pasukan Gerakan Am di Beluran, Sabah akan siap dibina dalam tempoh RMKe-12. Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara akan diperkenal, bagi menetapkan hala tuju industri tempatan berkaitan pertahanan dan keselamatan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri juga mengumumkan pembinaan 10,200 unit rumah keluarga angkatan tentera dan kuarters sedang dibina dan boleh diduduki dalam tempoh RMK-12. Jelasnya, langkah ini bagi memastikan kebajikan anggota tentera dan penguatkuasa terbela.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Sembilan fokus kerajaan dalam melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi memulih serta menjana semula ekonomi negara dengan kerajaan memperuntukkan RM400 bilion untuk membiayai projek sambungan dan projek baharu di bawah RMK12.
Ujarnya, RMK-12 merupakan pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama. Bagi tujuan ini, tiga Tema dan empat Pemangkin Dasar serta 14 Pemacu Perubahan diperkenalkan dalam RMKe-12.
Berobjektifkan ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, RMK12 bukan hanya untuk menjana kekayaan negara semata-mata, sebaliknya membolehkan rakyat menikmati taraf hidup lebih baik dengan pengagihan peluang dan hasil lebih saksama serta mengekalkan kelestarian alam sekitar.
RMK12 berpaksikan sembilan fokus utama iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi, memperkukuh pemangkin pertumbuhan, meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia, memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam, membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan.
Fokus lain adalah memperkasa agenda bumiputera dan Keluarga Malaysia, melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun, mempercepat pertumbuhan hijau, dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pelaksanaan dasar yang berkesan. -SuaraTV