KUALA LUMPUR — Tular di media sosial sepucuk surat yang dikatakan dihantar bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang antara lain mendakwa beliau pernah diberikan jaminan bahawa tiada tindakan akan dikenakan terhadapnya.
Surat 26 halaman tersebut turut memperincikan siasatan pengambilan pekerja asing itu mencetuskan perhatian susulan dakwaan Saravanan bahawa beliau telah beberapa kali membincangkan perkara berkenaan dengan Perdana Menteri sejak November 2025 sehingga bulan lalu.
“Pada ketika itu, YAB Dato’ Seri telah memberi jaminan bahawa tiada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap saya.
“Namun begitu saya amat kesal kerana SPRM secara tiba-tiba telah memulakan tindakan undang-undang/siasatan terhadap saya,” menurut kandungan surat berkenaan.
Setakat ini, Suara.TV belum dapat mengesahkan secara bebas ketulenan surat berkenaan atau mendapatkan pengesahan daripada Saravanan berhubung dakwaan tersebut.
Surat itu juga mendakwa Saravanan tidak pernah terlibat secara peribadi atau melalui mana-mana ahli keluarganya dalam urusan pengambilan pekerja asing ketika menjadi Menteri Sumber Manusia.
Menurut surat berkenaan, nota Jemaah Menteri bertarikh 13 April 2022 menunjukkan Menteri Sumber Manusia tidak mempunyai kuasa meluluskan pengambilan pekerja asing, manakala proses permohonan ketika itu dibuat menerusi Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS).
Surat itu mendakwa sistem berkenaan akan memilih syarikat yang layak secara automatik sebelum senarai dikemukakan kepada pusat sehenti di Kementerian Sumber Manusia.
Saravanan juga didakwa mempertikaikan asas siasatan SPRM terhadapnya dan meminta siasatan berkenaan dihentikan serta-merta.
Antara hujah dikemukakan ialah tiada wang tunai atau bukti material yang mengaitkannya dirampas, beliau tidak pernah mengeluarkan arahan kepada pegawai kerajaan berkaitan kelulusan pekerja asing dan mendakwa tidak mengenali individu yang dinamakan dalam draf pertuduhan.
Lebih mengejutkan, surat berkenaan turut mengandungi dakwaan mengenai dua ahli perniagaan yang disiasat SPRM pada 2022, termasuk Syed Amirul Syed Ahmad.
Menurut surat itu, Syed Amirul didakwa mengaitkan nama Saravanan selepas menerima tekanan ketika dalam tahanan, termasuk ancaman untuk menahan isterinya.
Syed Amirul dan isterinya kemudiannya dikatakan membuat akuan bersumpah pada 22 September 2022 bagi menarik balik atau memperbetulkan kenyataan terdahulu mereka.
Surat itu turut menyatakan wang jaminan Syed Amirul dipulangkan SPRM pada 26 Jun 2023 dan kes berkenaan ketika itu dikatakan telah selesai tanpa siasatan lanjut terhadap Saravanan.
Bagaimanapun, Syed Amirul dan isterinya didakwa dipanggil semula oleh SPRM pada November 2025 untuk disoal siasat mengenai perkara sama.
Saravanan dalam surat berkenaan menyifatkan kes itu sebagai tidak berasas dan berharap Perdana Menteri mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara tersebut.
Sehingga berita ini ditulis, belum ada kenyataan rasmi daripada Pejabat Perdana Menteri berhubung dakwaan bahawa jaminan seperti dinyatakan dalam surat berkenaan pernah diberikan.



