Dunia hiburan bakal digemparkan sekali lagi apabila konsert “A Night to Remember” kembali dengan edisi kedua pada 14 Disember 2024, bertempat di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru. Menampilkan barisan artis lagenda seperti Kugiran Masdo, Exists, dan Ratu Rock Ella, konsert ini dijangka menarik ribuan peminat rock dari seluruh Johor, Singapura, dan Kepulauan Riau, Indonesia.
Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik biasa, tetapi sebuah inisiatif yang mampu memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi hiburan bertaraf antarabangsa. Sokongan daripada Tourism Johor dan pihak-pihak berkepentingan lain membuktikan kepentingan acara ini dalam mempromosikan Johor sebagai hab kesenian dan kebudayaan di rantau ini.
Pengarah Tourism Johor, Tuan Shahril Nizam Abdul Rahim, menyatakan keyakinannya bahawa konsert ini bukan sahaja akan memperkasa industri hiburan, tetapi juga memberi impak besar kepada sektor pelancongan di Johor. “Konsert ini bukan sahaja memeriahkan industri hiburan, tetapi juga membantu mempromosikan Johor sebagai destinasi pilihan untuk acara-acara hiburan bertaraf antarabangsa,” ujarnya.
Dengan tema “Rock Nostalgia”, konsert ini akan mengimbau kembali era kegemilangan rock Malaysia. Barisan artis yang dipilih bukanlah calang-calang; Ella, yang tidak perlu diperkenalkan lagi, akan menggamatkan pentas dengan lagu-lagu ikoniknya. Kugiran Masdo pula akan membawa elemen retro yang disukai ramai, manakala Exists akan menghangatkan malam dengan lagu-lagu hit mereka yang sentiasa diingati.
Ketua Eksekutif Co Events Sdn Bhd, David Emir Bareng, menyatakan bahawa konsert ini adalah satu penghormatan untuk peminat rock tanah air. “A Night to Remember telah menjadi acara yang dinanti-nantikan. Ia merupakan platform untuk artis-artis hebat tanah air berinteraksi dengan peminat setia mereka,” katanya.
Anggota Kugiran Masdo juga berkongsi keterujaan mereka, dengan menyatakan, “La merupakan sebuah penghormatan untuk berkongsi pentas dengan dua legenda. Kami sangat teruja dapat mencipta memori indah bersama peminat kami dari Johor, Singapura dan Indonesia.”
Exists, yang akan kembali ke Johor di mana segalanya bermula, menyatakan bahawa tema konsert ini benar-benar menyentuh jiwa mereka. “Tema Rock Nostalgia benar-benar dekat di hati kami. Kembali ke Johor di mana segalanya bermula dan bersatu semula dengan peminat setia adalah sangat bermakna buat kami. Exists tidak sabar untuk beraksi di hadapan lebih daripada 4,000 pencinta muzik di konsert A Night to Remember 2024,” kongsi mereka.
Tiket untuk konsert ini telah mula dijual di www.ticket2u.com.my dengan harga bermula RM99. Sempena sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-67, pihak penganjur menawarkan diskaun 6.7% untuk setiap pembelian tiket dari RM169 ke atas sehingga 31 Ogos 2024. Konsert ini dijangka menjadi malam yang tidak dapat dilupakan bagi semua pencinta muzik rock di rantau ini.