KUALA LUMPUR – Akta Hasutan 1948 adalah salah satu undang-undang zalim yang sedang dikaji kerajaan maka sewajarnya ia diletak bawah dasar moratarium dan tidak sepatutnya menuduh Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah akta itu memandangkan beliau membangkitkan soal Perlembangaan.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) jelas berjanji mahu menghapuskan Akta Hasutan kerana ia zalim.
“Guna Akta Hasutan lagi. Dulu guling-guling atas jalan raya kata ini akta zalim. Draconion law. Darjah kezalimannya nombor wahid (satu). Dalam manifesto jelas berjanji nak hapus Akta Hasutan kerana ia zalim. Sekarang dah tak zalim?
“Sebelum cytro PH-BN kata kalau zalim kenapa Tan Sri Muhyiddin tak hapuskan Akta Hasutan semasa dia jadi Menteri Dalam Negeri dulu? Saya nak jawab siang-siang. Saya duduk dalam jawatankuasa mengkaji undang-undang zalim (dah tak ingat apa nama rasminya) semasa di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dulu. Anggotanya terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara (AGC), Majlis Peguam, wakil NGO dan lain-lain.
“Ada enam undang-undang yang dikaji. Akta Hasutan salah satu daripadanya,” kata Marzuki dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Justeru, tegas beliau sementara akta ini dalam kajian, ada dasar morotarium.
Iaitu katanya, Akta Hasutan tidak digunakan untuk mendakwa sesiapa pun.
“Dasar ini dilaksanakan oleh PDRM dan AGC pada masa itu.
“Sekarang, Tan Sri Muhyiddin hanya membangkitkan soal perlembagaan. Soalan itu adalah valid. Tetapi dituduh di bawah Akta Hasutan.
“Siapa yang zalim? soal Marzuki.
Sebelum ini, ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menggesa kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenakan semula moratorium terhadap Akta Hasutan 1948 seperti dilakukan di bawah pentadbiran PH 1.0 yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pimpinan PKR Johor itu berkata walaupun terdapat banyak kelemahan sepanjang tempoh pertama PH berkuasa, moratorium Akta Hasutan berjaya dilaksanakan sehinggalah kerajaan PH tumbang pada Februari 2022.
Awal bulan Julai lalu kumpulan masyarakat sivil mengadakan demontrasi bagi menggesa Perdana Menteri menunaikan janji PH untuk memansuhkan undang-undang era British itu.
Hassan antara ahli Parlimen kerajaan yang menerima memorandum disampaikan kumpulan berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Mac lalu berkata Kabinet telah memberikan kebenaran untuk meneruskan cadangan pindaan Akta Hasutan, tetapi ia bertujuan membantu kerajaan mengekang provokasi berhubung isu 3R (kaum, agama, raja).