Siasat apa hubungan Apandi dan Jho Low – Tun M

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mendesak siasatan dilakukan berkenaan hubungan antara bekas Peguam Negara, Tan Sri Tan Sri Mohamed Apandi Ali dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, keputusan Apandi menghalang mahkamah daripada membicarakan kes Datuk Seri Najib Razak dan juga melindungi Jho Low.

“Apandi ingin tahu asas dan sebab keputusan dibuat untuk tidak teruskan cadangan menuntut semula Batu Puteh sebagai milik Malaysia. Saya telah jelaskan perkara ini berkali-kali.

“Apa yang perlu dijelaskan ialah bagaimana Apandi mencadang penyelesaian kes Jho Low dengan tawaran Jho Low untuk bayar kepada Kerajaan Malaysia sebanyak RM1.5 bilion,” soal Mahathir dalam catatan di blognya pada Rabu.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, Apandi telah mendakwa dahulu bahawa tidak ada kesalahan yang dibuat oleh Najib dalam kes 1MDB.

Maka katanya, ini bermakna Jho Low juga tidak bersalah.

“Jikalau tidak bersalah apa sebabnya Jho Low bercadang bayar RM1.5 bilion kepada Kerajaan Malaysia.

“Cara orang yang tidak bersalah ialah dengan kembali ke Malaysia dan sanggup dibicara di mahkamah,” tegas beliau.

Namun kata Pengerusi Pejuang itu, Jho Low masih tidak sanggup kembali ke Malaysia walaupun sanggup menghubungi Apandi.

“Kesanggupan Apandi menerima tawaran Jho Low tentulah kerana Apandi sekarang akui yang Jho Low bersalah.

“Lagi pun Najib didapati bersalah dengan kesemua tuduhan di mahkamah apabila dibicara.

“Sekali gus keputusan Apandi bahawa Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan, ditolak oleh mahkamah apabila Najib dibicara. Ini bemakna Apandi cuai dalam menjalankan amanah sebagai Peguam Negara (AG),” ujarnya.

Kata Mahathir apa menjadi persoalan ialah apakah jenis hubungan Apandi dengan Jho Low semasa ia memutuskan bahawa tidak ada apa-apa kesalahan yang dibuat oleh Najib.

“Jika ada hubungan maka ‘conflict of interest’ berlaku. Keputusan Apandi menghalang mahkamah dari membicara kes Najib dan juga melindungi Jho Low.

“Adalah penting siasatan dibuat berkenaan hubungan Apandi dengan Jho Low,” katanya lagi.

Terdahulu, AGC mengesahkan bahawa Jho Low ada membuat tawaran penyelesaian dengan kerajaan berhubung kes berkenaan, namun ditolak oleh pihak kerajaan.

“AGC merujuk kepada beberapa laporan berita berkenaan percubaan Jho Low untuk membuat tawaran penyelesaian dengan Kerajaan Malaysia. AGC mengesahkan bahawa dalam tahun ini, Jho Low melalui wakilnya telah membuat percubaan untuk mendapatkan satu penyelesaian dengan Kerajaan Malaysia.

“Dalam percubaan ini, wakil Jho Low telah bertemu dengan beberapa agensi Kerajaan Malaysia termasuk AGC. Kesemua tawaran penyelesaian daripada wakil Jho Low telah ditolak oleh AGC,” kata pejabat berkenaan.

Jho Low yang didakwa menyeleweng wang 1MDB berdepan saman AS$3.78 bilion (kira-kira RM15.85 bilion) yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat