Siri jelajah bukti Wings tak lupa peminat marhaen

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kumpulan rock legenda, Wings bakal mengelilingi negara melalui konsert jelajah tahun depan tanda terima kasih kepada peminat.

Menepis dakwaan melupakan peminat marhaen berikutan sering tampil dalam persembahan eksklusif termasuk di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur, bulan depan, vokalis Wings, Datuk Awie berkata, anggota Wings sentiasa berusaha mencari peluang mendekati penyokong.

“Siapa kata Wings hanya ingin membuat persembahan di tempat eksklusif dan berprestij? Kami tidak pernah melupakan peminat marhaen kerana kami rakyat marhaen.

“Pada masa sama, selama 37 tahun dalam industri muzik, semestinya kami tidak mahu melepaskan peluang dan ruang yang diberi pada peringkat ini.

“Alhamdulillah, perjuangan Wings diiktiraf apabila kami dapat membuat persembahan di pentas eksklusif dan bertaraf antarabangsa. Namun, Wings tidak pernah melupakan asal usul kami.

“InsyaAllah hasrat untuk mengadakan konsert jelajah, masuk ke ceruk kampung dan FELDA ada dalam projek tahun depan.

Wings merancang menganjurkan siri jelajah ke seluruh negara tahun depan. Foto Ihsan Penganjur Showcase Wings One Night Only

 

“Selepas siri jelajah, disusuli dengan konsert sederhana yang berakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil atau di lokasi yang dipilih kelak,” katanya pada sidang media mengumumkan penganjuran Showcase Wings One Night Only Live di Sarawak Chambers Riverside Majestic Hotel, Kuching, pada 27 Ogos depan.

Awie berkata, band itu tidak menolak tawaran membuat persembahan pada acara eksklusif berikutan ada permintaan, selain tidak mahu melepaskan peluang.

Mengenai dakwaan tiket menyaksikan kumpulan itu beraksi pada acara Fabulous Friday di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), bulan depan, ‘licin’ dalam tempoh 15 minit sebagai ‘propa’ dan gimik, Awie mengaku tidak mengambil tahu soal penjualan tiket.

Tambahnya, dia terkejut apabila mendapat tahu 820 tiket dijual sekelip mata.

“Gara-gara tiket kami laku dalam tempoh sangat singkat iaitu 15 minit untuk persembahan malam pertama dan lima minit untuk malam kedua, saya dituduh ‘propa’ dan sengaja mereka cerita.

“Sedangkan tiket sudah ditempah lebih awal peminat Wings. Sebaik jualan dalam talian dibuka, peminat berebut mendapatkannya.

“Tetapi tidak mengapalah, jika ada yang mengatakan kami ‘propa’, terpulang kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, berkongsi mengenai persembahan Wings di Sarawak, Ogos ini Awie teruja kerana sudah lama band itu tidak beraksi di negeri berkenaan.

Tidak sabar bertemu peminat di Bumi Kenyalang, Awie berkata, mereka akan membawakan koleksi lagu yang dipersembahkan di DFP ke Sarawak.

“Kami berterima kasih kepada penganjur atas kesudian membawa Wings untuk merancakkan kembali ‘scene’ muzik rock di Sarawak yang sudah lama ketandusan persembahan genre ini.

“Kami berharap penyokong tegar Wings di Sarawak dapat bersama meraikan ulang tahun Wings ke-37 pada persembahan itu,” katanya.

Selain Kuching, Awie akan berganding dengan Erra Fazira pada Showcase Awie Romantika di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, Sabah, pada 20 Ogos.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat