Jumlah calon tidak hadir peperiksaan SPM berjaya dikurangkan 1.2 peratus – Fadlina

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Jumlah calon yang tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 berjaya dikurangkan sebanyak 1.2 peratus berbanding tahun lepas, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata seramai 97.4 peratus daripada 373,525 calon telah menduduki peperiksaan SPM 2023.

“Pencapaian ini adalah hasil intervensi yang dilaksanakan di setiap peringkat, melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak sekolah.

“Walaupun begitu, Kementerian Pendidikan (KPM) tetap mengambil perhatian berkenaan calon yang tercicir atau tidak hadir peperiksaan SPM 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara langkah segera yang akan diambil KPM, termasuk membuat pengesanan calon yang tercicir dan memberi peluang kepada mereka untuk mendaftar, bagi menduduki peperiksaan secara ulangan.

“Intervensi ini telah dilaksanakan pada tahun lalu dan berjaya membuahkan hasil yang positif,” katanya.

Terdahulu, pada sidang media majlis pengumuman keputusan SPM 2023, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata daripada 383,685 calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan awam itu, hanya 373,525 calon hadir.

Fadhlina dalam pada itu turut mengucapkan tahniah kepada semua calon peperiksaan SPM 2023, guru dan seluruh warga KPM, yang telah berusaha keras memastikan peningkatan prestasi secara keseluruhan.

Beliau berkata Gred Purata Nasional (GPN) SPM 2023 ialah 4.60, dengan peratusan calon layak menerima sijil ialah 93.5 peratus, dan seramai 11,713 orang calon berjaya memperoleh gred semua A.

“Keputusan ini lebih baik berbanding tahun sebelumnya. KPM optimis keputusan membanggakan SPM 2023 adalah pemangkin dalam usaha berterusan mereformasikan pendidikan negara,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat