PM Dijadual Rasmi HAWANA 2022 Di Melaka Ahad ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual akan menyertai lebih 700 pengamal media pada majlis kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 di Hotel Hatten, Melaka, pada Ahad ini (29 Mei).

Jawatankuasa Publisiti dan Promosi HAWANA 2022 menerusi kenyataan hari ini berkata pada majlis yang turut dihadiri wartawan dari beberapa negara ASEAN itu, Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucapan perasmiannya pada 2.30 petang.

Menurut kenyataan itu, antara perkara yang bakal menjadi tumpuan pada sambutan perayaan terbesar khusus untuk pengamal media itu tahun ini ialah Deklarasi Melaka yang menggariskan hala tuju kewartawanan dan industri media negara.

Majlis yang bertemakan ‘Suara Jelata, Aspirasi Negara’ itu juga akan menyaksikan penghormatan diberikan kepada wartawan profesional, individu dan organisasi menerusi Anugerah HAWANA 2022.

“Pemilihan dibuat terhadap penerima yang telah memberi sumbangan besar bukan sahaja dalam bidang kewartawanan tetapi juga dalam membentuk minda rakyat menerusi karya-karya yang dihasilkan,” menurut kenyataan itu.

Pada sebelah pagi, satu Forum Media Nasional akan diadakan sebagai platform ketua-ketua pengarang, pengarang dan tokoh media berbincang mengenai kepentingan masa depan industri media, terutamanya apabila berhadapan dengan perubahan teknologi dan persekitaran yang semakin mencabar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa akan menyampaikan ucapan penutup pada forum itu.

Sementara itu, pada malam esok (28 Mei) pengamal media akan diraikan dalam majlis jamuan makan malam bersama Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam anjuran kerajaan Melaka.

HAWANA yang disambut setiap tahun pada 29 Mei merupakan pengiktirafan dan penghargaan kerajaan atas sumbangan pengamal media dalam membantu membangunkan negara dan mengukuhkan perpaduan masyarakat.

HAWANA 2022 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dan dilaksanakan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan penglibatan organisasi media dan kerjasama kerajaan Melaka.

Sambutan HAWANA pertama kali diadakan pada 11 April 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE Kuala Lumpur.

Beberapa negara lain seperti China dan Indonesia telah lama meraikan Hari Wartawan dan negara berkenaan memberi pengiktirafan secara rasmi atas jasa dan perjuangan golongan wartawan setiap tahun. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,481FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat