Kuala Lumpur: Sensasi YouTube, Ryzal Ibrahim yang popular menerusi saluran YouTube Durian Kimchi membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kaum Iban Sarawak.
Ia susulan Ryzal didakwa menghina pakaian tradisi masyarakat itu dalam Instagram Story, semalam.
Menerusi hantaran video berdurasi lebih tujuh minit itu, Ryzal mengakui tidak menjaga sensitiviti dalam bergurau dengan isterinya yang juga Sensasi YouTube dan selebriti TV, Maryam Younarae ketika isterinya mengenakan busana tradisional itu.
“Terlebih dahulu, saya ingin membuat permohonan maaf kepada semua rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sarawak dan kaum Iban, di mana, saya sudah mengguris perasaan mereka dengan disangka menghina pakaian tradisional mereka.
“Saya hanya bergurau dengan Maryam. Waktu itu, Maryam memakai pakaian tradisional Iban untuk penggambaran. Jadi, saya hanyalah bergurau dan tidak tahu menjaga sensitiviti,” katanya.
Menurut Ryzal, dia tidak berniat untuk menghina khazanah budaya masyarakat Iban itu.
“Saya sudah mencemarkan mungkin antara satu khazanah yang anda simpan sampai sekarang. Saya betul-betul minta maaf. Tak ada niat langsung nak menghina dan jadi rasis kepada mana-mana kaum di Malaysia,” katanya.
Dalam video sama, Ryzal juga bersetuju sekiranya perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada mana-mana persatuan membabitkan masyarakat Iban.
“Andai saya perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada persatuan kaum Iban di Sarawak, sila beritahu dan saya boleh buat permohonan maaf.
“Saya memetik pakaian itu sebagai alas meja, alas TV, langsir dan selebihnya. Itu hanya gurauan semata-mata untuk saya dan Maryam,” katanya.
Dalam masa sama, Ryzal juga menjelaskan bahawa kesilapan itu berpunca daripada dirinya dan tidak ada kaitan dengan isterinya.
“Untuk pengetahuan semua, Maryam tak ada kaitan sebab dia tak faham apa yang saya tuturkan dalam video itu. Dia tak faham pun apa yang berlaku.
“Apabila dia dapat banyak mesej yang meminta Maryam menjelaskan apa yang berlaku, dia jadi tak faham. Dia jumpa saya dan saya jelaskan bahawa ini salah saya.
“Maryam tak dapat bersama saya dalam video ini, tapi dia akan buat juga permohonan maaf bagi pihak saya dan Durian Kimchi,” katanya.
Ryzal juga memohon supaya kecaman terhadap bayi dalam kandungan Maryam juga dihentikan.
“Saya harap, tak ada apa-apa isu yang tidak ada kaitan dengan apa yang berlaku. Contohnya, bakal anak kami yang ada dalam kandungan Maryam sekarang turut terima kecaman. Ada yang mengatakan anak itu sekian sekian sekian.
“Mungkin Maryam tak faham. Tapi, bila dia rujuk kepada saya, saya sedih juga bila tengok orang hentam anak yang belum lahir. Belum lihat dunia, tapi dah kena caci hamun dengan masyarakat.
“Saya tak salahkan anda. Saya salahkan diri sendiri sebab ini berpunca daripada saya,” katanya.
Terdahulu, video yang tular itu memaparkan Ryzal dilihat mempersenda pakaian tradisional yang dipakai Maryam dengan beberapa gambaran seperti duit syiling, kain buruk dan sebagainya.
Selain memuat naik video, Ryzal turut membuat perkongsian beberapa hantaran di Instagram yang memohon maaf atas keterlanjuran katanya.
Beberapa hari lalu, Ryzal turut menerima kecaman selepas dilihat mengulas mengenai peguam yang sebelum itu menulis ciapan berkaitan Neelofa yang dibenarkan parkir kereta dalam perkarangan mahkamah.
Harian Metro