Tuntut sidang Parlimen maya, tak boleh darurat selamanya – Azalina

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan boleh mengenakan perintah kawalan terhadap rakyat, tetapi bukan terhadap demokrasi, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, menafikan hak Ahli Parlimen untuk melibat urus dengan kerajaan bermaksud menafikan hak rakyat di negara ini.

Dalam satu kenyataan, beliau menggesa kerajaan supaya melabur bagi mengadakan sidang Parlimen secara maya ketika tempoh darurat dan berkata tidak ada cara negara untuk maju ke depan melainkan Parlimen dibenarkan bersidang semula.

Azalina berkata, beliau juga baru-baru ini mengadakan perbualan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang berkata “tidak ada bantahan untuk Parlimen bersidang secara maya”.

“Kita sudah pun mengalami cukup masalah dengan mengabaikan hak demokrasi dan asasi individu demi krisis kesihatan awam,” katanya.

Azalina berkata, kehilangan rasa percaya dalam masyarakat harus ditangani melalui perbahasan terbuka, kerana ia membina keyakinan rakyat ketika ini dalam keadaan pentingnya menjaga keselamatan semua.

Bagi menangani defisit kepercayaan yang melanda polisi Covid-19, beliau berkata semua Ahli Parlimen harus digerakkan sebagai “ejen penyebar maklumat dan kesihatan awam” untuk membantu kerajaan.

Katanya memetik FMT, kenyataan yang beliau keluarkan adalah kerana kecewa dengan kurangnya maklum balas daripada Peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengenai penggantungan Parlimen.

Beliau berkata, penggantungan itu seperti melumpuhkan kemampuan kerajaan untuk menangani masalah.

Bagi meminimumkan risiko Covid-19 dalam persidangan fizikal, Azalina mencadangkan semua kakitangan Parlimen diberikan suntikan vaksin.

Beliau turut meminta peraturan darurat untuk membenarkan Parlimen bersidang semula, tetapi tanpa usul undi percaya dilakukan ketika persidangan.

“Sehingga dan kecuali wabak itu dikawal serta imuniti kelompok sekurang-kurangnya 50 peratus dicapai, tidak ada pilihan raya umum akan diadakan tetapi, sebaliknya, kerajaan interim darurat dengan Kabinet darurat dibentuk, dengan perwakilan dari semua parti politik,” katanya.

Azalina berkata, jawatankuasa pilihan khas harus digunakan sebagai alternatif untuk meningkatkan kebertanggungjawaban dan ketelusan di peringkat eksekutif.

Menurutnya, peruntukan Covid-19 harus diagihkan untuk setiap kawasan Parlimen, sementara Ahli Parlimen harus diberi kebenaran melakukan perjalanan dan balik ke kawasan mereka untuk bekerja.

“Sikap serba tahu kerajaan mesti dihentikan. Memandangkan Covid-19 berada di sekeliling kita untuk bertahun akan datang, kita tidak mampu berada dalam keadaan darurat selama-lamanya,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,540FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat