BAITULMAQDIS – Bekas perdana menteri Israel Naftali Bennett dan Ketua Pembangkang Yair Lapid mengumumkan mereka akan bertanding menggunakan senarai bersama dalam pilihan raya tahun ini, dalam langkah yang bertujuan menyingkirkan penyandang, Benjamin Netanyahu.
“Saya gembira untuk mengumumkan bahawa malam ini, bersama sahabat saya Yair Lapid, saya mengambil langkah paling Zionis dan patriotik yang pernah kami ambil demi negara kita,” kata Bennett dalam kenyataan televisyen bersama Lapid.
“Malam ini, kami bersatu dan menubuhkan parti Beyahad (Bersama) di bawah kepimpinan saya, sebuah parti yang akan membawa kepada kemenangan besar dan membuka era baharu untuk negara kita yang indah.”
Dalam kenyataan televisyen itu, Lapid berkata: “Bennett ialah ahli politik sayap kanan, tetapi seorang yang jujur dan wujud kepercayaan antara kami.”
Terdahulu pada Ahad, Lapid, yang juga bekas perdana menteri, berkata beliau akan bergabung tenaga dengan Bennett, lapor AFP.
“Langkah ini membawa kepada penyatuan Blok Pemulihan, membolehkan semua usaha difokuskan untuk memimpin Israel ke arah pembaikan yang diperlukan,” tulisnya di X.
Bennett berkata jika dipilih, beliau akan menubuhkan suruhanjaya siasatan kebangsaan bagi menyiasat kegagalan yang membawa kepada serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 sesuatu yang ditolak kerajaan Netanyahu ketika ini.
Bennett dan Lapid merupakan pengkritik lantang terhadap cara Netanyahu mengendalikan perang negara itu sejak serangan tersebut, dengan Lapid menyifatkan gencatan senjata dua minggu yang dipersetujui dengan Iran baru-baru ini sebagai satu “bencana politik”.
Bennett, seorang tokoh sayap kanan yang sekian lama menyokong penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki, dan Lapid sebelum ini membentuk kerajaan gabungan pada Jun 2021.
Kerajaan itu digantikan pada penghujung 2022 oleh pentadbiran semasa yang dipimpin Netanyahu, selepas Bennett pada Jun tahun itu berkata, gabungannya tidak lagi mampu bertahan dan Lapid kemudian berkhidmat seketika sebagai perdana menteri sementara.
Tinjauan pendapat menunjukkan, Bennett merupakan calon yang paling berpeluang menewaskan Netanyahu dalam undian Oktober ini.
Pada Ahad, Bennett turut menyeru bekas menteri, Gadi Eisenkot, ketua parti berhaluan tengah Yashar, supaya menyertai senarai bersama itu.
Bennett, 54, anak kepada pendatang Amerika dan bekas usahawan teknologi tinggi, menjual syarikat pemulaannya pada 2005 dengan harga AS$145 juta.
Sebagai bekas pegawai komando Israel, beliau mempunyai profil yang menarik perhatian sebahagian generasi muda negara itu selepas lebih dua tahun perang di Gaza.
Bennett pernah menjadi penasihat Netanyahu, namun dari semasa ke semasa menjadi penentang tegar dasar-dasar bekas mentornya itu.
Beliau pernah memimpin beberapa parti sayap kanan sebelum membentuk kerajaan perpaduan luas pada 2021.
Rakan gandingannya kini, Lapid yang berusia 62 tahun, merupakan anak kepada wartawan dan bekas menteri mendiang Tommy Lapid, seorang mangsa terselamat Holocaust, serta penulis terkenal Shulamit Lapid.
Lapid, seorang wartawan televisyen terkenal, memasuki politik pada 2012 dengan menubuhkan parti Yesh Atid, yang kemudiannya menjadi kuasa politik kedua terbesar di negara itu.
Sejak itu, beliau berkhidmat sebagai ketua pembangkang, kecuali tempoh singkat beliau sebagai perdana menteri.
Netanyahu merancang untuk mengetuai senarai partinya dalam pilihan raya umum yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada akhir Oktober.
Pada usia 76 tahun, pemimpin parti sayap kanan Likud itu merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat di Israel, dengan lebih 18 tahun keseluruhan tempoh memegang jawatan melalui beberapa penggal berbeza.



